MUKAH: Seorang kanak-kanak berusia lima tahun dimasukkan ke Hospital Mukah selepas cedera di beberapa anggota badannya dipercayai akibat didera ibu saudaranya.

Kanak-kanak malang itu malah mengalami patah tangan akibat perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut.

Kecederaan itu dikesan oleh doktor yang merawat kanak-kanak terbabit, biarpun ibu saudaranya yang berusia 25 tahun cuba berdalih dan menutup kesalahannya.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau ketika mengesahkan kes itu berkata, wanita itu telah membawa kanak-kanak malang tersebut ke Hospital Mukah sekitar jam 12.45 tengah hari Rabu lalu bagi mendapatkan rawatan.

“Doktor yang merawat mangsa kemudian mendapati wujud kesan cedera pada badan kanak-kanak itu akibat dipukul, dan segera memaklumkannya kepada polis.

Selepas disoal siasat segera, wanita itu kemudian mengaku memukul mangsa menggunakan penyidai baju, tangan serta kayu.

“Suspek memukul mangsa sebanyak tiga kali, dua hari sebelum itu di sebuah rumah pekerja kilang sawit yang terletak di Selangau.

“Ia menyebabkan mangsa mengalami patah tangan kanan, lebam di bahagian muka, dada, belakang badan, dan kedua-dua belah kaki.

Mangsa katanya lagi, dilaporkan dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-Kanak 2001. –Sarawakvoice