DARO: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg semalam memperuntukkan RM160 juta untuk membina tiga batang jalan di kawasan Dewan Undangan Negeri Daro.

Projek dua fasa itu melibatkan jalan Tanjung Manis, Sibu, Sebena dan Ilas sejauh 24 kilometer yang bernilai RM65 juta dan RM65 juta lagi untuk fasa kedua, membabitkan laluan di Kampung Pasin ke Matu.

Turut dicadangkan, pembinaan jalan dari Kampung Penasu ke Nanga Semah dengan kos RM42 juta.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Masyarakat Kampung Penasu di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom dan Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Safiee Ahmad.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata, kelulusan peruntukan itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak dalam mempertingkat kemudahan infrastruktur di luar bandar.

Sejajar dengan fokus untuk membangunkan kawasan luar bandar Sarawak, Ketua Menteri turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM2.7 juta bagi membina benteng hakisan sungai di samping RM400,000 lagi untuk membangunkan masjid baharu di Penasu.

“Kita juga meluluskan RM4.3juta bagi projek Skim Alternatif Bekalan Air Luar Bandar (Sawas) bagi kemudahan penduduk di sini, termasuk sebuah sekolah rendah,” katanya lagi. –Sarawakvoice