Saturday, August 20, 2022

Tiada Ahli Parlimen dan Adun GPS sertai Bersatu — Pengerusi Penaja

Johan Mohamad tidak pasti dari mana maklumat itu tersebar

Secara Rawak

KUCHING: ” Kami tidak tahu. Ia bukan daripada kami,” kata Johan Mohamad, Pengerusi Penaja Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Sarawak berhubung khabar angin mengenai enam ahli parlimen dan tiga ahli dewan undangan negeri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang akan menyertai parti tersebut.

Menurutnya, ia mungkin daripada Parti Pribumi Sarawak dan tidak ada kaitan dengan Bersatu.

“Ketika ini kita masih sedang dalam penubuhan penaja dan setakat hari inj berjaya mewujudkan 22 Bahagian mengikut Parlimen,” katanya dalam sidang media sebelum mempengerusikan mesyuarat dalam penaja parti di Ibu Pejabat Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak di sini sebentar tadi.

Akuinya, terdapat tiga penggerak utama penubuhan parti itu iaitu beliau sendiri, Shariff Busrah dan Affendi Jeman.

“Kami telah mengadakan komunikasi dan telah bersetuju untuk bergerak sebagai satu pasukan.

“Mereka ini bergerak dengan pasukan masing-masing dan kita akan bertemu dalam jangka waktu terdekat.

“Kita ada tempoh seminggu lagi untuk mengemukakan semua pasukan penaja ke peringkat pusat, dan tidak ada ruang untuk berpecah belah,” tambahnya.

Shariff dan Affendi bagaimanapun tidak hadir pada majlis tersebut, yang pada asalnya dikatakan merupakan mesyuarat penubuhan parti itu di peringkat negeri.

“Kita menjangkakan semuanya akan selesai pada awal September dan penubuhan jawatankuasa sebenar akan berlaku selepas itu.

Menjawab soalan media, Johan berkata, fokus pihaknya adalah kepada penubuhan parti dan bukan kepada Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Bagaimanapun kita sudah memulakan komunikasi dengan rakan Pakatan Harapan termasuk dengan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Parti baharu ini menyasarkan keahlian seramai 31,000 ahli pada 12 bulan pertama penubuhannya, iaitu 1,000 ahli untuk setiap Bahagian.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 25 Jun lalu mengumumkan pihaknya akan melebarkan sayapnya ke Sarawak. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru