Thursday, December 9, 2021

Pemilihan PKR: Anwar tanding presiden, Rafizi timbalan, Nurul naib

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim rasmi bertanding presiden PKR.

Borang pencalonan beliau diserahkan Pengarah Strategik PKR Sim Tze Tzin yang juga bertindak sebagai penyokong sekitar 11.15 pagi tadi kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR 2018 di Petaling Jaya.

Pencalonan Anwar sebagai presiden dicadangkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli turut disahkan bertanding bagi jawatan timbalan presiden parti itu.

Borang pencalonan Rafizi diserah wakilnya sekitar 11.30 pagi.

Turut rasmi bertanding ialah Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar merebut jawatan naib presiden PKR.

Anggota Parlimen Selayang, William Leong dan bekas anggota Majlis Perbandaran Subang Jaya Micheal Tamil turut mengemukakan pencalonan bagi jawatan naib presiden.

Calon lain yang bertanding pada Pemilihan PKR itu yang berlangsung hujung bulan ini ialah Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh merebut jawatan ketua Wanita.

Naib Ketua Wanita PKR Dr Daroyah Alwi pula menghantar borang pencalonan bagi merebut jawatan timbalan ketua wanita parti itu.

Anggota Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik Najwan Halimi pula bertanding jawatan ketua pemuda PKR.

Timbalan Ketua AMK Melaka Naqiuddin Nazrin pula menghantar borang pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan ketua pemuda.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi turut menyerahkan borang pencalonannya merebut jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Turut menghantar borang pencalonan bagi menduduki jawatan ahli MPP ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon.

Proses penghantaran borang pencalonan pemilihan PKR peringkat pusat tamat 5 petang hari ini.

Setakat ini penyertaan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menjawat Menteri Hal Ehwal Ekonomi belum diketahui kedudukannya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru