Saturday, October 23, 2021

GPS perlu lakukan “top overhaul”, hargai profesional muda untuk kekal relevan PRN12

Mesti baca

KUCHING: Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) 2021 dijangka sengit dengan hipotesis menjangkakan berlaku perubahan senario politik khususnya berkaitan politik kerajaan memerintah hari ini.

Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak Wan Azizan Wan Zainal Abidin pada “Seminar Menyingkap Sejarah Islam di Sarawak” mengandaikan jika parti memerintah terdiri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak melakukan “top-overhaul” ke atas barisan tertinggi kepimpinannya, “perubahan pasti berlaku”.

Berucap pada sesi penegasan “Menelusuri Sejarah, Memartabat Keadilan dalam Masyarakat Madani” pada seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak pada Sabtu, Wan Azizan menyifatkan kegagalan parti politik di negeri memberi peluang golongan profesional muda terlibat membentuk landskap parti politik memberi kesan negatif.

Wan Azizan mendakwa, bimbang golongan muda dan profesional ini mengganggu gugat kedudukan golongan veteran dalam parti menyebabkan banyak tenaga berkebolehan ini tercicir dari arus politik semasa.

Wan Azizan mengunjurkan bahawa kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Semenanjung berpunca daripada undi anak muda.

Sementara, beliau memuji langkah DAP yang sentiasa peka mengetengahkan calon anak muda dengan golonga veteran mengambil sikap mengawasi tokoh muda ini.

Bagi Wan Azizan, kejayaan politik perlu bertunjangkan ilmu dan strategi mantap di samping gerak kerja berpasukan yang kuat.

Beliau mahu melihat penglibatan bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam agar pandangan ini dapat disatukan dan tidak memandang enteng pandangan golongan belia.

Wan Azizan berkata, golongan belia perlu cakna kepada dunia politik kerana akan menentukan negara yang akan diwarisi generasi akan datang.

Pada seminar tersebut, antara makalah dibentangkan ialah “Pertapakan Awal Islam di Sarawak: Diaspora Hadrami dan Islamisasi Alam Melayu” oleh Tuan Haji Wan Ariffin Wan Yon.

Pembentangan lain disampaikan Samsol Moshidi Bujang bertajuk “Memposisikan Kearifan Lokal dalam Landskap Masyarakat Sarawak: Peranan Signifikan Politi Melayu Sarawak”.

Makalah “Jaringan Transmisi Pembaharuan: Angkatan Ulama Sarawam Abad ke-20 dan Gerakan Umat dalam Babak Kebangkitan Nasionalisme” pula disampaikan oleh Mohammad Fazril bin Mohd. Saleh.

Pada seminar berkenaan turut berlangsung Sesi Forum Khas “Kesinambungan dan Perubahan: Prospek dan Projeksi Islam dalam Perubahan Landskap Nusa” disertai ahli panel Datu Dr. Haji Sanib Said dan Haji Raslie Saharan dengan majlis diterajui oleh Dr. Haji Shantrol Abdullah. –Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru