Thursday, December 9, 2021

Kemenangan PRK Sungai Kandis bukti rakyat percayakan PH – Mahfuz

Secara Rawak

ALOR SETAR: Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Selangor semalam membuktikan rakyat terus memberi kepercayaan kepada pakatan tersebut untuk memerintah, kata Naib Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata berikutan kemenangan itu, pihak pembangkang terdiri daripada PAS dan Barisan Nasional (BN) disaran tidak perlu bertanding pada PRK DUN Balakong dan DUN Seri Setia, sebaliknya memberi fokus kepada rakyat di kawasan yang telah dimenangi mereka.

“Kemenangan semalam sudah diduga dan jumlah yang keluar mengundi rendah itu juga sudah dijangka tetapi itu tidak menjejaskan pencapaian dan keyakinan rakyat terhadap PH. Ini juga menunjukkan bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk memilih PH.

“Negara kita mengamalkan demokrasi jadi sesiapa pun boleh bertanding tetapi pembangkang (PAS, BN) tak payah bertandinglah. Daripada habiskan duit untuk PRK, baik mereka fokus pada kawasan mereka untuk pastikan mereka boleh jadi pembangkang yang konstruktif,” katanya mengulas keputusan PRK DUN Sungai Kandis.

Terdahulu, Mahfuz yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia merasmikan Majlis Penganugerahan Puncak Kecemerlangan 2018 di Dewan Sri Tanjung, Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar di sini, hari ini.

Semalam dalam pertembungan tiga penjuru PRK DUN Sungai Kandis, menyaksikan calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni memperolehi 15,427 undi menewaskan calon BN Datuk Lokman Noor Adam (9,585 undi) dan calon Bebas K. Murthy (97 undi).

PRK DUN Balakong akan diadakan pada 8 Sept berikutan kematian penyandangnya Ng Tien Chee akibat kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, Cheras pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia masih belum ditetapkan tarikhnya berikutan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Khamis lepas akibat kanser usus.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru