Tuesday, August 16, 2022

Tiada Ahli Parlimen PBB sertai Parti Pribumi Sarawak — Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebentar tadi menafikan khabar angin bahawa enam ahli parti itu telah bersetuju menyertai Parti Pribumi Sarawak (Pribumi).

“Mana ada. Mana saya tahu? Mana dia tahu?” jawabnya apabila diaju soalan tersebut sebentar tadi.

Pribumi Sarawak yang menggunakan logo kapal layar menerusi facebooknya semalam memuat naik status “Enam MP PBB/GPS setuju menyertai Parti Pribumi Sarawak (Pribumi).”

Pengendali akaun facebook tersebut, Shariff Busrah ketika dihubungi sebentar tadi bagaimanapun tetap yakin dengan pendirian bahawa enam Ahli Parlimen tersebut akan beralih angin.

“Ia memang betul. Tetapi nama mereka terpaksa dirahsiakan untuk masa ini,” jelasnya lagi.

Parti Pribumi Sarawak katanya, adalah gabungan Bersatu dan parti-parti tempatan Sarawak.

PBB kini mempunyai 14 wakil di Dewan Rakyat dan mengetuai komponen parti Sarawak yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Abang Johari ditemui media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Yayasan Sarawak 2018 di Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak di sini sebentar tadi.

Seramai 1,432 pelajar cemerlang dari seluruh Kuching, Samarahan dan Serian hadir untuk menerima hadiah tersebut daripada Ketua Menteri.

Pada majlis yang sama, beliau turut melancarkan aplikasi khas untuk pelajar Yayasan Sarawak, yang memudahkan mereka menyemak jumlah pinjaman, status pinjaman serta mendapatkan diskaun bayaran balik. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru