PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan sedang mempertimbang mengambil langkah drastik untuk memperkasa persatuan belia, dengan mengeluarkan pelan lengkap bagi merombak semula persatuan belia di negara ini.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, antara aspek yang akan ditekankan dalam pelan tersebut termasuklah memastikan NGO belia bebas bersuara dan mengkritik mana-mana pihak, selain tidak mempunyai ahli jawatankuasa tertinggi yang memegang jawatan dalam parti politik.

“Ia harus diterajui oleh belia sebagaimana digariskan dalam Dasar Belia Negara.

“Sehubungan itu, langkah-langkah penggubalan undang-undang sedang dilakukan agar pendefinisian semula had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun dapat dikuatkuasakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan ini hadir selepas Syed Saddiq menyebut bahawa persatuan belia tidak patut menjadi “macai politik” di parlimen semalam.

Foto: Bernama

Menjelas isu tersebut yang menjadi polemik hangat, beliau berkata, ia bukanlah ditujukan kepada semua persatuan atau pertubuhan belia ataupun semua pihak dalam pertubuhan tersebut.

“Tetapi hanya segelintir sahaja, khususnya pimpinannya.

Katanya, beliau mengakui akan peranan besar yang dilaksanakan oleh pertubuhan belia dan yakin, masih banyak pertubuhan dan ahli-ahli akar umbi yang mendukung agenda perjuangan belia yang luhur dan sejati.

“Saya ucapkan terima kasih dan persatuan belia seumpama ini akan terus kita angkat dan raikan.

“Malah Kementerian Belia dan Sukan bertekad untuk memperkasa lagi persatuan belia dan tiada lagi anak muda yang akan diabaikan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, tindakan rombakan menyeluruh ini juga akan memberi nafas baharu kepada gerakan persatuan belia dan ia akan memberi penekanan kepada neutralisasi, yakni pertubuhan belia tidak lagi diterajui oleh individu daripada mana-mana parti politik, tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Tegasnya, keinsafan ini wujud selepas melihat platform persatuan belia digunakan secara berleluasa untuk mempromosikan parti dan menjadi jentera dalam kempen Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Menjadi matlamat saya untuk mengembalikan kuasa kebebasan bersuara kepada persatuan belia agar mereka berani untuk menegakkan kebenaran dan tidak menjadi patung kawalan mana-mana parti politik termasuk parti komponen Pakatan Harapan,” tegasnya. –Sarawakvoice