Friday, August 19, 2022

Hentikan sebar maklumat Nurnia dirogol sebelum dibunuh, status kes hanya diketahui selepas bedah siasat — Polis

Secara Rawak

SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit menggesa orang ramai menghentikan spekulasi kes kematian seorang penjawat awam yang dikaitkan dengan jenayah rogol sebelum dibunuh.

Beliau menegaskan, proses bedah siasat belum dijalankan bagi mengetahui punca kematian mangsa.

“Jangan sebar berita yang belum disahkan benar kerana mayat mangsa belum dibedah siasat.

“Selepas dibedah siasat, baharulah kita akan dapat mengesahkan sama ada mangsa dirogol atau tidak,” katanya.

Berita penemuan mayat Nurnia Azalea Priscila Edward, 26 tahun dengan keadaan kaki dan tangan diikat tular di media sosial sejak semalam malah mangsa turut dikatakan telah dirogol sebelum dibunuh.

Menjelaskan perkara itu, Stanley berkata, ia hanya khabar angin sehingga laporan keputusan bedah siasat diperoleh kelak.

“Mangsa ditemui hanya berkemban, mungkin itu yang menjurus kepada khabar angin mangsa diseksa atau dirogol,” katanya.

Bagaimanapun kata Stanley, bedah siasat akan dijalankan petang ini atau esok untuk mengetahui punca kematian.

Semalam penduduk di Sibu digemparkan dengan penemuan mayat Nurnia, seorang kakitangan di Jabatan Pendaftaran Negara di UTC Sibu dipercayai dibunuh dengan kejam di sebuah bilik sewa di Jalan Tiong Hua.

Mayat mangsa ditemui oleh rakan sekerjanya di rumah berkenaan kira-kira 3 petang selepas gagal dihubungi dan tidak datang bekerja sejak pagi semalam.

Beliau difahamkan tinggal seorang diri di bilik sewa dekat Jalan Tiong Hua itu manakala suaminya pula bekerja di Tatau, Bintulu.

Suami mangsa yang terkejut dengan nasib menimpa isterinya itu tidak dapat mengawal perasaan di saat tubuh wanita dari Kanowit itu diusung keluar untuk dihantar ke hospital bagi tindakan lanjut. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru