KUCHING: Penulis drama adaptasi daripada novel Jangan benci Cintaku (JBC), merupakan seorang doktor perubatan, berasal dari Bintulu, Sarawak.

Nama sebenar penulis berusia 32 tahun ini ialah Dr Emelyne Bani anak Jam.

Beliau yang menggunakan nama samaran Emy Roberto dalam dunia penulisan sebenarnya kini bertugas di bahagian Pusat Penyelidikan Klinikal, Hospital Queen Elizabeth 2 di Kota Kinabalu.

“Saya tak sangka drama Jangan Benci Cintaku (JBC) jadi trending dan sejak itu saya terima pelbagai reaksi daripada penonton,” katanya seperti dipetik BH Online, hari ini.

Sejak dihasilkan pada 2012, novel itu telah diulang certak beberapa kali.

Drama adaptasi itu kini ditayangkan di TV3 menerusi slot Akasia jam 7 malam.
Penulis kecil molek ini aktif menulis sejak di universiti, dan menyifatkan kesibukannya dengan tugas harian sebagai doktor tidak menghalang beliau menghasilkan novel sesuai dengan cita rasa pembaca.

“Ia bermula dengan minat membaca dan ketika itu didorong oleh suami kenapa tidak saya hasilkan bahan bacaan sendiri,” katanya.

“Kebanyakan buku dihasilkan untuk menarik pembaca adalah berbentuk percintaan dan konflik keluarga,” katanya.

Menurut laporan berkenaan, Emy kini dalam perancangan menghasilkan satu lagi novel yang dijangka siap pada Mac tahun depan untuk Pesta Buku Antarangsa Kuala Lumpur. –Sarawakvoice