Monday, December 5, 2022

Kerajaan semak, teliti dan kaji kesahihan Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Perintah Penyerahan hak –Anifah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman membangkitkan isu royalti minyak bagi negeri Sabah. Isu ini juga turut dibangkitkan oleh rakan senegerinya sebelum ini, iaitu Datuk Jeffery Kitingan dalam ucapan perbahasannya sebelum ini.

Anifah yang berkata demikian sewaktu menjunjung kasih ucapan Seri Ucapan Baginda Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.

Anifah berkata, “baru-baru ini timbulnya kekeliruan mengenai pembayaran royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak akibat penukaran cara pengiraan royalti tersebut.

Dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk menarik penggundi pada PRU-14, Pakatan Harapan telah berjanji menaikkan royalti minyak dari 5% royalti kepada 20% royalti. Ianya tidak dinyatakan 20% royalti tersebut adalah berdasarkan keuntungan dan adalah jelas bahawa janji Manifesto melibatkan kenaikan daripada 5% kepada 20%.”

“Pada awal sidang Parlimen ini, YAB Perdana Menteri dan yang lain telah mengesahkan bahawa 20% royalti tersebut adalah berdasarkan royalti yang kebiasaan definasinya adalah berdasarkan jumlah pengeluaran kasar,” ujarnya.

“Akan tetapi semasa menjawab soalan tambahan, YAB Perdana Menteri telah mengubah cara pengiraan 20% royalti tersebut kepada berasaskan keuntungan.

Ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati sebahagian Ahli-Ahli Yang Berhormat dan rakyat daripada negeri-negeri pengeluar minyak,” kata Mantan Menteri Luar tersebut.

Jelas Anifah lagi, “ Asas pengiraan 20% royalti mengikut keuntungan telah dikesahkan oleh YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam jawapannya dalam Dewan mulia ini dan ditambah bahawa bayaran royalti berasaskan pengeluaran kasar akan memberi kesan negatif kepada Petronas dan negara.

YB Menteri Ekonomi menambah lagi bahawa pembayaran berdasarkan 20% keuntungan perlu masa lagi untuk dilaksanakan sebab pembayaran 20% keuntungan tersebut memerlukan pindaan Akta Pembangunan Petroleum, 1974.

“Sambil memutuskan pembayaran 20% royalti minyak, saya juga ingin meminta Kerajaan Pakatan Harapan untuk menyemak, meneliti dan mengkaji kesahihan Petroleum Development Act 1974, Perintah Penyerahanhak (Vesting Order) yang ditandatangani oleh Allahyarham Tun Abdul Razak pada 27hb Mac 1975 yang menyerah hak minyak dan gas di Malaysia termasuk Sabah kepada Petronas dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengembalikan hakmilik minyak dan gas Sabah dan Sarawak kepada Kerajaan Sabah dan Sarawak masing-masing dan kepada rakyat mereka,” ujar Anifah.

Jelas Anifah lagi “ Akta Pelantar Benua 1966 atau Akta Perlombongan Petroleum 1966 tidak boleh dikuatkuasakan di perairan Sabah dan Sarawak.

Sempadan perairan wilayah telah ditentukan oleh Mahkota British melalui Perintah dalam Majlis (Order in Council) sejak tahun 1954. Selanjutnya, Akta Wilayah Laut 2012 yang digubal untuk menggantikan Akta Pelantar Benua, Akta Perlombongan Petroleum 1966 dan Ordinan No.7 1969 tidak seharusnya dikuatkuasakan berkenaan perairan Sabah dan Sarawak kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana Akta tersebut telah menukar sempadan Sabah yang telah termaktub dalam Fasal 1(3) Perlembagaan Persekutuan.

Apa-apa penukaran sempadan Sabah perlu diterimapakai oleh Dewan Undangan Negeri Sabah di bawah Fasal 2 Perlembagaan dan ini tidak dibuat. Oleh yang demikian Akta Wilayah Laut 2012 hanya adalah undang-undang di atas kertas, dan bukannya sah di bawah undang-undang Malaysia.” –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru