Monday, August 15, 2022

Tindakan Sarawak beralih kepada sumber tenaga berpaksikan teknologi hijau wajar dan tepat – Pengerusi Sarawak Energy Berhad

Secara Rawak

KUCHING: Pengerusi Sarawak Energy Berhad, Tan Sri Abdul Hamed Sepawi yakin tindakan Sarawak beralih kepada teknologi hijau dan mesra alam adalah selari dengan
inisiatif global untuk mengurangkan perubahan iklim dunia.

“Melalui inisiatif ini, kita boleh mengurangkan jejak karbon dan mengembangkan inisiatif tenaga hijau yang mampan.

“Ini adalah pelaburan untuk kelestarian masa depan untuk Sarawak dan dunia,” katanya ketika menyampaikan aluan sempena upacara pecah tanah Loji Pemprosesan Hidrogen dan stesen hidrogen pertama Sarawak di Pejabat Wilayah Sarawak Energy Berhad di sini semalam.

Jelasnya, stesen pengisian semula hidrogen yang dibangunkan ini akan menjadi yang pertama untuk pengangkutan di Asia Tenggara.

“Seperti juga dalam menjayakan pelbagai sumber tenaga Sarawak sebelum ini seperti membangunkan tenaga hidro dan arang batu, kami percaya dan yakin akan terus berinovasi dengan teknologi baharu ini.

“Kemudahan (loji) ini merupakan sebahagian daripada set minda yang inovatif, dengan tujuan menghasilkan campuran tenaga yang lebih mesra untuk Sarawak pada masa depan.

Katanya, loji ini dijangka siap pada suku pertama tahun depan dan projek perintis ini direka bentuk untuk beroperasi secara automatik,dengan tenaga manusia yang minimum.

“Penyelidikan menunjukkan bahawa hidrogen dan sumber tenaga alternatif lain akan menjadi pilihan generasi global menjelang 2030.

“Di banyak negara di dunia seperti United Kingdom, China dan Jepun, pemain utama sudah meneliti penyelidikan sel hidrogen sebagai bahan bakar.

“Di rantau ini, kami menjadi peneraju yang meneroka cara penyelesaian inovatif untuk tenaga hijau, sama seperti peranan awal kami dalam kuasa hidro sebelum ini.

Kerana itu tegasnya, pihaknya berterima kasih dengan komitmen dan kerjasama rakan kongsinya, Linde Malaysia yang mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi hidrogen.

Syarikat dari Jerman itu juga kini memiliki lebih 150 stesen hidrogen di seluruh dunia.

“Terima kasih kerana memulakan perjalanan ini dengan kami untuk membangunkan stesen hidrogen pertama untuk pengangkutan di Asia Tenggara,” katanya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru