Sunday, September 25, 2022

Jawatan Timbalan Presiden PKR: Azmin atau Rafizi?

Secara Rawak

Jika berlaku pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), siapa agaknya yang akan muncul juara?

Bolehkah Timbalan Presiden  Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, mempertahankan kerusi itu?

Atau mampukah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli  menumbangkan Azmin dalam pemilihan parti akhir bulan depan?

Semalam, Rafizi yang dilihat lebih rapat dengan Anwar dan keluarganya, memberikan empat sebab beliau mencalonkan diri bertanding merebut jawatan timbalan presiden.

Antaranya kerana menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri kelapan, sekali gus memperkukuhkan parti menerusi pembentukan barisan kepemimpinan yang senada dengan pucuk pimpinan.

Foto : Famous People

Rafizi berkata, Anwar memerlukan satu pasukan kepemimpinan yang 100 peratus bersama beliau.

Sebab kedua, mengikut Rafizi ialah PKR perlu berazam untuk membantu Pakatan Harapan (PH) menguasai baki negeri yang gagal dikuasai — Perlis, Pahang, Terengganu, Kelantan termasuk Sarawak pada Pilihan Raya Negeri 2021.

Ketiga, tegas Rafizi, beliau mahu PKR bebas dan menolak budaya ‘salam cium tangan’ dan feudal serta budaya orang bawah tidak boleh menegur orang atas.

Sebab keempat, beliau bertanding adalah bagi membantu ahli akar umbi terutama memperkasa ekonomi mereka dengan bercadang menubuhkan koperasi anggota PKR,pemerhati politik, terutama mereka yang mengikuti pplitik dalam PKR sedar bahawa antara Rafizi dengan Azmin, telah wujud persaingan untuk sekian lama.

Tahun ini ialah ulang tahun ke-20 PKR, sejak Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998.

Pemecatan itu mencetuskan gelombang reformasi yang dahsyat yang menyaksikan ratusan ribu penyokong pemimpin karismatik itu turun ke jalanan.

Azmin bekas Menteri Besar Selangor, dan kini menteri penuh persekutuan dari bawah kepimpinan Mahathir lebih banyak risiko berbanding Rafizi.

Bayangkan kalau beliau tewas?

Seyogia diingat, Rafizi tidak akan rugi apa-apa. Tetapi kalau beliau menang, implikasinya amat besar, lebih-lebih lagi Azmin dianggap sebagai bakal pengganti Anwar.

Ya, dilihat sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia, selepas Anwar.

Ya, siapa yang dapat menambat hati perwakilan? Siapa yang bakal menduduki kerusi nombor dua dalam parti utama kerajaan itu?

Di atas kertas, tidak syak lagi, Azmin memiliki kelebihan. Tetapi, politik dalaman PKR adalah aneh.

Jangan ditolak hakikat bahawa Rafizi dipersepsi lebih disenangi Anwar dan keluarganya.

Malah, Anwar difahamkan lebih selesa dengan Rafizi.

Jika Anwar member isyarat tertentu kepada perwakilan supaya menyokong Rafizi, sudah pasti ini akan menguntungkan Rafizi.

Adakah Anwar akan memberi sokongan kepada Rafizi?

Hakikatnya, Anwar tidak boleh dilihat memihak. Atau menyokong mana-mana calon. Setidak-tidaknya secara terbuka.

Ketika ini, Azmin dilihat rapat dengan Dr Mahathir.  Adakah ini satu kelebihan?

Mungkinkah pengaruh Dr Mahathir memberi kesan? –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru