Monday, August 15, 2022

Bas sekolah percuma di Sarawak sekiranya R&D hidrogen sebagai bahan bakar kenderaan berjaya — Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Negeri tidak menolak kemungkinan untuk menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada pelajar di negeri ini pada masa depan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu boleh menjadi kenyataan sekiranya gas hidrogen yang dihasilkan menerusi proses penyelidikan dan pembangunan Sarawak Energy Berhad (SEB) dapat digunakan sebagai bahan bakar kenderaan yang murah.

“Kalau ia murah, tidak salah (sediakan perkhidmatan tersebut). Itu impian saya. Ini bukan janji,” katanya ketika menyempurnakan upacara pecah tanah Loji Pemprosesan Hidrogen dan Stesen Hidrogen pertama Sarawak di Pejabat Wilayah SEB di sini semalam.

Pad penghujung tahun lalu, Ketua Menteri memberitahu sebanyak tiga buah bas yang dijana oleh tenaga hidrogen telah diimport dari China dan dijangka akan berada di Kuching pada pertengahan tahun ini.

SEB sebelum ini telah dilantik untuk melaksanakan projek pembangunan dan penyelidikan projek ini dengan geran pelancaran sebanyak RM15 juta.

Loji yang dibangunkan dengan kerjasama Linde, sebuah syarikat pakar dari Jerman ini dijangka akan dapat menghasilkan 150kg gas hidrogen untuk tujuan penyelidikan, dan jika berjaya akan dikomersialkan.

Dengan pelaksanaan teknologi ini, Sarawak dijangka menjadi negeri pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan pembekalan tenaga hijau dan mesra alam ini secara serius.

Apabila berjaya, ia juga dijangka akan menjadi bahan bakar utama untuk kenderaan di negeri ini, termasuk pada aliran transit ringan yang dicadangkan.

Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sungai dan tasik, yang menjadi sumber kepada pembentukan hidrogen. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru