Tuesday, December 6, 2022

HFMD: Tingkatkan segera status keselamatan dan kesihatan di Daro — Shafie

Secara Rawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad meminta penduduk di kawasannya meningkatkan segera status keselamatan dan kesihatan ekoran kematian akibat wabak penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Kampung Pantray semalam.

“Ibu bapa terutamanya, jangan terlalu mendedahkan anak-anak kecil kepada khalayak dan kawasan yang berisiko ketika ini.

“Malah kita perlu sama-sama meningkatkan lagi langkah pencegahan dan kawalan terhadap wabak ini, dengan memberi penekanan mengenai pentingnya amalan kebersihan diri.

Tegasnya, anak-anak perlu dididik dengan amalan cuci tangan yang betul, penjagaan kebersihan persekitaran dan perlu peka dengan perkembangan berita semasa mengenai wabak ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengesahkan kematian seorang kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan di daerah Daro, berpunca daripada jangkitan HFMD.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Jamilah Hashim ketika dihubungi berkata, berdasarkan laporan, kanak-kanak itu mula mengalami simptom demam pada 24 Julai lalu sebelum menunjukkan tanda seperti ruam pada tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut, pada keesokan harinya.

Jelasnya, kanak-kanak tersebut dibawa ke Klinik Kesihatan Daro pada 25 Julai dan telah didiagnosa sebagai disyaki HFMD.

Ibu pesakit kemudian diberikan rawatan dan dinasihatkan mendapatkan rawatan dengan segera jika anaknya masih tidak sembuh.

Bagaimanapun, pada malam 27 Julai, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Daro dalam keadaan tidak stabil sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

Mangsa telah meninggal dunia di Hospital Sibu pada jam 2.08 pagi 28 Julai dan penyebab kematiannya ialah jangkitan paru-paru teruk (severe pneumonia) dengan jangkitan HFMD.

Sampel klinikal kata Jamilah, telah diambil untuk ujian pengesahan bagi mengetahui punca kematian. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru