Friday, October 7, 2022

Abang Jo lawat Matu, umum projek dan mahu projek sakit disegerakan

Transformasi Tebingan Matu bakal kikis mitos pekan mati

Secara Rawak

MATU: Pekan Matu bakal berubah wajah dan tidak lagi menjadi pekan mati apabila dana berjumlah RM2 juta disuntik untuk membina tebing baharunya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan peruntukan itu ketika lawatan singkatnya ke Matu hari ini.

Katanya, peruntukan berkenaan akan memberi perubahan kepada lanskap Matu selaras objektif Kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan luar bandar.

“Malah isu air dan bekalan elektrik yang selalu membelenggu rakyat di kawasan ini akan segera diselesaikan,” katanya yang turut mengumum peruntukan RM200 juta untuk mengatasi masalah bekalan air bagi Bahagian Mukah, termasuk Matu Daro.

Berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Matu hari ini, Abang Johari menjelaskan bahawa peruntukan itu untuk membiayai projek pemasangan paip bagi menyalurkan bekalan air terawat ke kawasan tersebut.

Ketua Menteri memberi jaminan akan memantau sendiri projek berkenaan yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Ia menyambung bekalan air dari Balingian sehingga ke Daro dan akan siap sekurang-kurangnya dua tahun lagi,” katanya.

Sempena lawatan tersebut, Ketua Menteri yang diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya turut memeriksa projek pembinaan jambatan konkrit bagi menggantikan jambatan kayu di Kampung Sekaan, selain di Kampung Tian.

Beliau turut mengarahkan pembinaan jambatan itu disiapsegerakan dalam tempoh masa enam bulan selepas lebih dua tahun melangkaui jadual asal.

Dr Juanda dalam ucapannya yakin, pembinaan Tebingan Matu akan merancakkan lagi pembangunan kawasan berkenaan.

“Pekan ini akan lebih berseri. Malah sepanjang Pesta Matu, ia akan hidup semula, meriah dengan kedatangan penduduk kampung dan jiran berdekatan,” katanya.

Pelbagai acara diadakan sepanjang pesta tersebut berlangsung dan antara yang menarik perhatian ialah Regata Matu.

Lebih 5,000 pengunjung membanjiri Matu sejak pesta tersebut diadakan seminggu lalu.

Turut diadakan pesta budaya, jualan dan sukan rakyat.

Terdahulu, Abang Johari turut menyampaikan geran tanah Hak Adat Bumiputera kepada penduduk Daerah Matu.

Turut hadir, Datin Amar Jumaani Tuanku Bujang , Ahli Parlimen P. 207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi, ketua kerajaan dan ketua masyarakat. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru