Tabiat diluar kebiasaan, Catherine salami abang sebelum ke Miri

0
8

KUCHING: Tepat jam 5.53 petang tadi, mayat mendiang Catherine Janet Tiwi, 25 tahun yang terkorban dalam tragedi kebakaran di SK Batu Bungan semalam selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Ketibaan keranda tersebut di ruang kargo MAS disambut Menteri Pendidikan,Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin, Setiausaha Tetap kementeriannya, Datu Sudarsono Osman, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Norhisham Mohamed dan bekas Pengarah Pendidikan Negeri, Rakayah Madon.

Selepas penghormatan terakhir tersebut, keranda mendiang dibawa menaiki kenderaan Jabatan Bomba dan Penyelamat menuju terus ke kampung halamannya di Kampung Skio, Bau.

Mayatnya akan disemandikan di Tanah Perkuburan Kristian kampung berkenaan pada Sabtu.

Sementara itu, pada pagi tadi, pengesahan dan pengecaman mayat mendiang dilakukan di Hospital Miri, oleh bapanya Tiwi Nios, 53, pegawai kanan bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Bau dan ibunya, Wency Seimon, 48.

Mayat mendiang kemudian diterbangkan ke Kuching menggunakan pesawat MAS, yang dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Pendidikan Negeri.

Sementara itu tinjauan di rumah mendiang, penduduk kampung berduyun-duyun hadir memberi penghormatan terakhir kepada wira tidak didendang itu.

Abangnya, Christopher Tiwi, 27 tahun malah tidak dapat mengawal kesedihan dengan pemergian adik perempuan tunggalnya itu.

“Kali terakhir kami berjumpa adalah pada Ahad lepas apabila dia tiba untuk menghadiri kursus di Kuching.

“Saya menghantarnya ke lapangan terbang dan dia sempat bersalam sebelum berkata, ‘bye bye bro,’.

“Itu mungkin tanda-tanda dia akan pergi kerana tidak pernah sebelum ini dia bersalam dengan saya setiap kali dihantar ke lapangan terbang.

Tetapi pada hari itu kata Christopher, itulah salam terakhir adiknya.

Dalam tragedi menyayat hati pada jam 5 pagi semalam, mendiang dikatakan sempat menyelamatkan diri, namun masuk semula ke dalam kuarters yang marak dengan api untuk menyelamatkan dua rakannya yang lain, yang kemudian ditemui melecur.

Mangsa bertugas di SK Penghulu Baya Mallang dan berada di sekolah SK Batu Bungan untuk membawa anak muridnya mengikuti Kem Motivasi UPSR. –Sarawakvoice

Christopher Tivi