TATAU: Seorang maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam nahas jalan raya berhampiran SMK Tatau, Jalan Bintulu-Sibu pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 10.33 pagi dan sebuah LFRT dikejarkan ke lokasi dengan kekuatan 12 anggota dari Balai Tatau.

“Setibanya di lokasi, pasukan melaporkan bahawa kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori kargo yang membawa muatan barang, yang bertembung dengan sebuah kenderaan jenis Proton Saga FLX dari arah yang bertentangan.

“Pemandu Proton Saga, seorang lelaki yang identitinya kemudian dikenal pasti sebagai Galambong Awan, 46 tahun, didapati tersepit pada bahagian tempat duduk pemandu.

Mangsa katanya, kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian.

“Pihak kita telah bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat ‘rescue tool’ sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia.

“Pemandu dan kelindan lori kargo pula telah dikeluarkan oleh orang awam yang berada di lokasi.

Pemandu tersebut dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian kaki serta pinggang manakala kelindan lori, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa diberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke hospital oleh pasukan paramedik,” katanya lagi. –Sarawakvoice