Apakah Chieng Jen khianati harapan rakyat Sarawak? — Fadillah

0
4

Kenyataan media Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak yang juga Ahli Parlimen Stampin, YB Chong Chieng Jen, di Parlimen semalam (25 Julai 2018) yang mendakwa Kerajaan Sarawak belum mempersetujui penurunan kuasa yang ditawarkan Putrajaya dan mendakwa Kerajaan Sarawak tidak menjelaskan pendirian mengenai perkara itu adalah tidak berasas sama sekali.

YB Chong mendakwa bahawa pihak PH Sarawak telah menawarkan royalti sebanyak 20 peratus daripada pengeluaran minyak di negeri itu dan 50 peratus daripada hasil kutipan cukai di Sarawak, diberikan kepada kerajaan negeri jika PH berjaya menawan Putrajaya pada PRU-14.

Namun perkara ini bercanggah sama sekali dengan apa yang telah dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam persidangan Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.

Menurut YB Chong, kerajaan negeri bagaimanapun perlu mengambilalih beban kewangan yang ditanggung oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan di Sarawak.

Dalam kenyataannya juga YB Chong menyebut tambahan royalti 15 peratus selain 5 peratus ketika ini, melibatkan peningkatan sebanyak RM4.5 bilion kepada RM5 bilion setahun, dan 50 peratus pendapatan cukai di Sarawak iaitu sebanyak RM3.5 bilion setahun, memandangkan Sarawak menyumbang kutipan cukai berjumlah RM7 bilion. Justeru beliau menyebut bahawa sejumlah RM8 bilion akan diberikan kepada Sarawak.

Susulan kenyataan YAB Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi bahawa 20 peratus royalti minyak yang dimaksudkan adalah daripada keuntungan bukannya pengeluaran, GPS dengan ini menuntut penjelasan daripada YB Chong berhubung pendirian beliau mengenai perkara ini, sama ada beliau sudah berubah pendirian atau konsisten mahukan 20 peratus royalti minyak daripada pengeluaran.

Kerajaan Sarawak sejak Allahyarham Tok Nan mengambilalih tampuk kepimpinan negeri, secara konsisten telah berjuang menuntut royalti 20 peratus daripada hasil pengeluaran berbanding 5 peratus ketika ini.

Manakala bagi penurunan kuasa, Allahyarham Tok Nan secara tegas dan konsisten menuntut hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan. Usaha Allahyarham itu telah diteruskan oleh YAB Ketua Menteri sekarang, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg, sehingga ke hari ini.

Jawatankuasa Kabinet berkaitan MA63 juga telah ditubuhkan sejak 2016 dan ia dipengerusikan bersama oleh Datuk Seri Nancy Shukri (Sarawak) dan Datuk Seri Anifah Aman (Sabah).

Tuntutan Allahyarham Tok Nan secara spesifik menumpukan kepada keperluan untuk Kerajaan Persekutuan memenuhi hak-hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963, Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 dan Perlembagaan Persekutuan.

Malah rundingan penurunan kuasa pentadbiran dari Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak sudah memasuki fasa kedua sebelum PRU-14 yang lalu melibatkan perundingan antara Peguam Negara di peringkat Persekutuan dan Peguam Besar Negeri Sarawak dan Sabah.

Jawatankuasa teknikal di peringkat negeri juga sudah mengemukakan laporan teknikal perbincangan kepada Peguam Negara sebelum ini, Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Di samping itu, 13 peruntukan kuasa pentadbiran sudah dikembalikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sarawak sejak 2016.

Persoalannya sekarang ialah apakah pendirian Chong mengenai tuntutan royalti 20 peratus itu? Sama ada beliau akan terus bersama Kerajaan Negeri Sarawak untuk tidak berganjak menuntut royalti 20 peratus daripada hasil pengeluaran atau sudah berubah pendirian susulan perkembangan terbaru apabila kepimpinan PH sendiri mengumumkan bahawa 20 peratus itu adalah daripada keuntungan bersih?

Jika YB Chong sudah berubah pendirian, bermakna beliau telah ‘mengkhianati’ janji dan harapan rakyat Sarawak serta perjuangan Allahyarham Tok Nan untuk menuntut royalti 20 peratus daripada pengeluaran hasil minyak dan gas.

Apa yang jelas harapan rakyat Sarawak kepada Kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menunaikan janji dalam Manifesto PH untuk memberikan royalti 20 peratus berasaskan hasil pengeluaran dan mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak ,Dato’ Sri Fadillah Yusof