Tuesday, September 27, 2022

131 masih hilang dalam insiden empangan runtuh di Selatan Laos

Secara Rawak

VIENTIANE: Perdana Menteri Laos Thongloun Sisoulith pada Rabu berkata kira-kira 131 orang masih hilang selepas sebuah empangan hidroelektrik Xe Pian- Xe Nam Noy, yang masih dalam pembinaan, runtuh di selatan negara itu awal minggu ini.

Insiden itu menyebabkan banjir kilat melanda tujuh kampung di daerah Sanamxay yang terletak di selatan Wilayah Attapeu, lapor agensi berita China Xinhua.

Meskipun Thongloun tidak menyatakan angka kematian, agensi berita Laos melaporkan bahawa 26 orang telah disahkan maut dalam insiden itu.

Perdana menteri itu memberitahu sidang akhbar bahawa semua penduduk kampung yang terkandas di atap rumah mereka yang tenggelam atau di atas pokok telah dipindahkan ke tempat yang selamat pada Selasa.

“Jumlah mereka yang kehilangan tempat tinggal telah meningkat kepada 3,060 orang manakala 131 lagi masih hilang. Memandangkan banjir masih melanda, lima hingga enam lagi kampung turut terjejas,” katanya.

Thongloun berkata pihak berkuasa berusaha membantu mangsa di kampung yang terjejas akibat banjir kilat itu dan satu jawatankuasa khas telah dibentuk bagi menangani situasi tersebut dengan kerjasama jabatan yang berkaitan selain menyiasat punca insiden.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru