Friday, August 19, 2022

Seorang remaja maut, dua lagi parah selepas motosikal bertembung di jalan lurus di Kampung Semerah Padi

Secara Rawak

KUCHING: Seorang pelajar maut, manakala dua lagi parah apabila terbabit dalam nahas dua motosikal di Jalan Bangau, dekat Kampung Semerah Padi di sini malam tadi.

Dalam kejadian sekitar 11 malam itu, Muizzudin Amin Mahadi, 17 tahun mati dipercayai akibat cedera parah di kepala.

Insiden dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang berseorangan motosikal jenis Honda Wave bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang dinaiki dua remaja.

Impak pelanggaran itu menyebabkan kesemua mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superitendan Alexson Naga Chabu mengesahkan kes tersebut ketika dihubungi hari ini.

“Kedua-dua motosikal telah bertembung sesama sendiri di laluan lurus menyebabkan mangsa cedera parah di kepala sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan lanjut.

Muizzudin bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

Manakala dua lagi mangsa, Muhamad Anief Fahmi Rosdi, 16 tahun dan Siti Khadijah Khairul, 15 tahun juga parah di kepala dan kini dirawat di Zon Merah, Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak.

Menurut Alexson, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru