Sunday, December 5, 2021

Lebih 2, 000 hadir ‘Makan Tahun’ di Kuala Nyalau Bintulu

Secara Rawak

BINTULU: Berapa ramai pernah ikut ‘Makan Tahun’ ? Mungkin agak asing bunyinya bagi yang tidak pernah ikut serta dan belum mengenali tradisi unik masyarakat daripada etnik Kedayan ini.

Pada Ahad (22 Julai), acara Makan Tahun bagi penduduk Kampung Kuala Nyalau dekat sini berlangsung meriah dengan menyaksikan lebih 2000 pengunjung hadir memeriahkan majlis.

Apa itu Makan Tahun? Makan Tahun adalah merupakan acara tradisi untuk masyarakat berketurunan Kedayan dan diadakan sambutan setiap tahun.

Masyarakat Kedayan Islam di Kampung Kuala Nyalau telah meraikan hari istimewa ini sejak turun temurun.

Biasanya sambutan diadakan selepas musim menuai padi sama seperti amalan kaum Iban meraikan gawai selepas musim menuai.

Cuma bezanya, Hari Gawai diadakan sambutan di setiap rumah panjang sebaliknya amalan Makan Tahun masyarakat Kedayan dilakukan secara gotong-royong dengan menyediakan majlis jamuan secara besar-besaran di satu kawasan khas seperti di balai raya atau dewan kampung.

Kelupis menjadi menu wajib ketika sambutan Makan Tahun. Daging ‘payau’ atau rusa, pelanduk dan ayam kampung juga antara sajian istimewa untuk pengunjung selain tidak terkecuali hidang daging lembu.

Sehari sebelum Makan Tahun penduduk kampung bergotong-royong menyediakan sajian dan membuat kelupis atau ‘menggulung kelupis’ dengan menggunakan daun palas atau ‘daun silat’ mengikut istilah kaum Kedayan.

Ketua Kampung, Amit Salleh, 65 memberitahu, pada tahun ini, sebanyak 125 gantang pulut digunakan untuk dibuat kelupis bagi tujuan Makan Tahun pada kali ini.

Manakala sebanyak 10 gantang pulut pula dibuat wajik atau pulut manis untuk hidangan kepada tetamu.

Untuk Makan Tahun kali ini perbelanjaan untuk penganjuran majlis mencecah lebih RM20, 000.

Pada malam sebelum sambutan diadakan cara bergendang dan bermukun. Sejarah tercipta apabila acara bergendang dihadiri begitu ramai tetamu.

Seorang penduduk, Ramlah Salleh,45, berkata, Makan Tahun kali ini mencatat sejarah tersendiri dengan kehadiran begitu ramai tetamu dari luar.

Cuaca yang baik dan sistem jalan raya yang cukup elok membolehkan ramai pengunjung boleh datang untuk memeriahkan suasana dan acara tersebut juga berjalan lancar. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru