KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni semalam mendesak Kerajaan Persekutuan menyemak semula peruntukan khas di bawah perlembagaan yang merujuk kepada pemberian peruntukan khas kepada negeri Sarawak dan Sabah yang dilupakan.

Ketika membahas titah ucapan Yang Di-Pertuan Agong, beliau menyentuh tentang tuntutan Sarawak yang kurang diketahui umum malah dilupai oleh Kerajaan Persekutuan yang lalu, mengenai Pemberian Kewangan Khas di bawah artikel 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Artikel yang tertulis pada Bahagian VII, Peruntukan Kewangan ini menyebut tentang pemberian yang sepatutnya disemak lima tahun sekali, tetapi ia telah terhenti dalam tempoh yang agak lama.

“Jika saya sendiri terkejut mengenai perkara ini, bagaimana pula rakyat biasa di luar sana, terutama rakyat Sarawak.

“Inilah yang dimaksudkan hak kami yang terhakis,” tegasnya semalam.

Dalam ucapan sulungnya sebagai Ahli Parlimen itu, Lukanisman menegaskan bahawa Kerajaan Negeri gigih mendapatkan kembali hak-hak Sarawak yang terhakis dan terkikis supaya keputusan untuk menyertai pembentukan Malaysia tidak dikesali oleh anak-anak Sarawak, generasi masa hadapan.

“Kerja-kerja untuk mendapatkan hak-hak Sarawak yang terhakis tidak akan berhenti.

“Kami bersetuju bergabung bersama-sama Semenanjung Tanah Melayu untuk menikmati kemerdekaan yang bermaruah dan kehidupan yang lebih baik.

“Autonomi yang kami tuntut bukan untuk memperkecil Kerajaan Persekutuan, tetapi sebagai langkah mengurangkan beban Kerajaan Ppersekutuan dan sebagai tanda kami telah diajar dengan baik melalui pendidikan hasil penggabungan Malaysia.

Melalui autonomi jelasnya, pimpinan Sarawak dapat menentukan dasar yang sesuai bagi rakyat Sarawak.

Tegasnya, Sarawak tidak menuntut banyak, biarpun sedar selama ini negeri itu membentuk Malaysia dengan membawa hasil minyak dan gas yang menyumbang kepada perolehan pendapatan negara.

“5 peratus yang dikembalikan kepada Sarawak sebagai royalti, yang dirasakan pemimpin kami yang lepas adalah angka yang wajar.

“Tetapi demi peningkatan dan desakan pembangunan, kami dengan lemah lembut meminta ‘royalti’ ditingkatkan kepada 20 peratus.

Kerajaan Malaysia Baharu sebelum ini menyatakan angka 20 peratus adalah jumlah yang mereka sedia kembalikan.

“Tetapi 20 peratus itu perlulah daripada perolehan pendapatan (revenue) bukan 20 peratus daripada keuntungan.

Akui Lukanisman lagi, peruntukan sebelum ini ada disalurkan oleh kerajaan Barisan Nasional tetapi pembangunan yang dinikmati masih belum mencapai apa yang diharapkan rakyat Sarawak. –Sarawakvoice