DARO: Tiada apa dapat dilakukan, kerana api bukan sahaja marak begitu cepat, bahkan sukar untuk dipadam.

Tindakan terbaik yang dilakukan oleh penduduk, serta pasukan bomba sukarela Daro adalah melakukan ‘fire break’, atau mengelakkan api merebak ke kediaman lain.

Itu yang berlaku di sini malam tadi apabila sebuah rumah, berhampiran Masjid Tunku Abdul Rahman terbakar.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 8.34 malam menerusi Balai Polis Daro.

“Sebuah jentera FRT dan ambulans EMRS dengan kekuatan enam anggota kemudian diatur gerak ke lokasi dari Balai Mukah.

“Namun perjalanan dari balai ke lokasi mengambil masa lebih dua jam melalui jalan darat dan feri.

“Pasukan hanya tiba di lokasi kejadian sekitar jam 10.48 malam, dan mendapati sebuah rumah berstruktur tidak kekal telah musnah terbakar 100 peratus.

Katanya, anggaran keluasan rumah adalah sekitar 40 kaki X 30 kaki dan pasukan kemudian bertindak membuat pemadaman untuk memastikan api padam sepenuhnya.

Semasa kejadian, kata Ling Hii, kesemua penghuni iaitu dua perempuan dewasa, seorang warga emas perempuan dan seorang lelaki dewasa tiada di rumah.

“Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran masih disiasat,” jelasnya. –Sarawakvoice