Saturday, May 21, 2022

Selesaikan isu hakisan kuasa Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 secara rundingan, demi kesejahteraan Malaysia

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak bersetuju menubuhkan Malaysia disebabkan pelbagai faktor di ambang waktu penubuhannya, jelas Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, pada tahun 1963, keadaan Sarawak jauh berbeza daripada apa yang berlaku pada hari ini.

“Kita bukan sahaja sebuah negara yang kurang membangun, tetapi juga miskin dan masalah kemiskinan begitu mencengkam.

“Kita juga berada di bawah ancaman komunisme, dengan negara China cuba mengembangkan ideologinya sambil Indonesia yang dikuasai oleh Parti Komunis Indonesia mempunyai isu tuntutan wilayah terhadap rantau ini.

“Hubungan dengan Filipina juga rapuh kerana mereka mahu menuntut Sabah.

” Putrajaya bukanlah seperti London pada era Koloni British. Petra Jaya akan menentukan masa depan Sarawak.

Dalam keadaan yang tidak dapat mempertahankan diri, Sarawak dari aspek keselamatan terpaksa bergantung kepada Komanwel dan rakan dari Tanah Melayu.

“Pada masa yang sama, kita cemburu untuk merdeka sendiri.

“Kerana itulah kita bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia tetapi pada prinsipnya kita turut menegaskan syarat-syarat tertentu yang memberi kita autonomi ke atas banyak aspek kehidupan dalam Perlembagaan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Sarawak di Dataran Perayaan, Kompleks Sukan Petra Jaya di sini sebentar tadi.

Bapanya, Tun Abang Openg Abang Sapiee merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama pada waktu itu manakala Ketua Menteri ialah Datuk Stephen Kalong Ningkan.

Apabila Sarawak tegasnya, telah menjadi sebahagian daripada Malaysia, ia menaruh harapan yang tinggi untuk menjadi maju seperti Malaya.

“Malaya berada di hadapan Sarawak dari segi pembangunan pada masa itu dan itulah yang diinginkan oleh pemimpin dan rakyat kita untuk Sarawak.

Berhubung penubuhan Malaysia, katanya, amaran pernah ditegaskan oleh pengasasnya, Apai Tun Jugah Barieng yang berkata: “Anang Malaysia bakatebu, manis di pun tabar di ujung (Jangan Malaysia seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung).

Sarawak kata Abang Johari lagi, pada mulanya berpuas hati dengan apa yang dijanjikan Malaysia.

“Keselamatan Sarawak daripada jiran-jiran yang bermusuhan dan ancaman dalaman dijamin dengan bantuan negara-negara Malaya dan Komanwel.

“Tetapi di sepanjang jalan, sengaja atau sebaliknya, hak Sarawak dilanggar tanpa orang Sarawak menyedarinya.

Katanya, keadaan ini telah mencambahkan rasa tidak puas hati rakyat Sarawak.

“Kami sangat percaya bahawa hakisan (kuasa) ini mesti diperbetulkan dan diselesaikan secara baik melalui rundingan kerana ia tidak sihat untuk keseluruhan kesejahteraan Malaysia,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau positif, rundingan penurunan kuasa akan diteruskan oleh kedua-dua kerajaan demi memastikan hak Sarawak dikembalikan. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru