Friday, October 7, 2022

Tiada pengesahan dakwaan penahanan Jho Low – Fuzi

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Tiada pihak dapat mengesahkan dakwaan bahawa ahli perniagaan Low Taek Jhow atau Jho Low yang sedang diburu berhubung siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), telah ditahan di China.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya telah membuat semakan terhadap perkara itu namun belum dapat sebarang perkembangan.

“Kita telah buat semakan dengan pihak polis dan kedutaan China berhubung dakwaan ini. Namun, tiada pun antara mereka yang dapat sahkan penahanan tersebut,” katanya selepas hadir Majlis Serah Terima Tugas jawatan Pengarah Jabatan Pengurusan dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Blog Sarawak Report pada Rabu melaporkan sebuah stesen radio di Hong Kong menyiarkan satu laporan berita berhubung penahanan Jho Low di China.

Pasport Jho Low dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada 15 Jun atas permintaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyiasatan mereka terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Fuzi berkata polis turut melakukan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy berhubung kes fitnah terhadapnya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ramasamy dikatakan terlibat dengan ahli politik Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (pro-LTTE) V Gopalasamy (Vaiko) setelah gambar mereka berdua diambil dalam satu majlis perkahwinan baru-baru ini yang tular di media sosial.

Sementara itu, majlis tersebut menyaksikan bekas Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab menyerahkan dokumen serah terima tugas kepada Pengarah Pengurusan Bukit Aman yang baharu Datuk Asri Yusoff.

Abdul Ghafar yang berkhidmat di PDRM selama 39 tahun akan bersara wajib Ahad ini dan diberi penghormatan paluan berundur 6 petang ini di Pulapol.

Selain itu, majlis turut menyaksikan penyerahan penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 100 orang pegawai dan anggota bagi menghargai jasa dan sumbang bakti mereka kepada tanah air.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru