KUALA LUMPUR: Sejumlah 50 peratus daripada pendapatan Petronas adalah daripada minyak Sarawak namun malangnya, hanya sebahagian kecil disalurkan ke Sarawak untuk membangunkan negeri itu, tegur Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut wakil Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, hakikat sebenar apabila Malaysia ditubuhkan adalah untuk menyelaraskan kekayaannya, dan menggunakannya untuk membangun tempat-tempat tidak terbangun.

“Ini termasuklah Sarawak, Sabah, bahkan juga Kelantan.

Dalam keadaan sedemikian beliau mengingatkan bahawa tugas dan tanggungjawab Kerajaan Pusat adalah penting untuk mereaslisasikan impian rakyat Sarawak.

“Kita memahami bahawa pada peringkat awal 1963 hingga ke tahun 1980-an, kerajaan tidak berkemampuan. Kita faham. Kita terima hakikat.

Foto: Bernama

“Tetapi selepas tahun 1990-an, timbul keghairahan untuk membangunkan Kuala Lumpur, bina menara berkembar Petronas, Sirkit Sepang.

“Sepatutnya, sewa untuk separuh daripada Menara Berkembar tersebut disalurkan kepada Sarawak, untuk tujuan pembangunan Sarawak… sebab sebahagian daripadanya kami punya.

Katanya lagi, Sarawak tidak bermasalah dengan projek pembinaan Putrajaya yang maju dan gah.

“Tetapi jangan lupa Sabah, jangan lupa Sarawak. Kenapa duit Petronas digunakan untuk membuat menara berkembar, sirkit Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Putrajaya … tetapi Petra Jaya di Sarawak tidak dipedulikan.

“Daripada situ, saya ingin jelaskan, dengan keluasan negeri Sarawak, ia tidak mampu untuk membangunkan negeri itu sendirian.

“Sebab, hasil mahsulnya telah banyak dibawa ke pusat. Orang di sini (Semenanjung) sepatutnya berterima kasih kepada Sarawak,” tegasnya lagi.

Katanya, Sarawak perlukan sumbangan dan bantuan secara holistik daripada Kerajaan Persekutuan kerana ketika ini pendapatan isi rumahnya hanyalah RM5,389.00 berbanding RM6,958.00 peringkat nasional.

“Jurang di antara luar bandar dan bandar juga jauh berbeza dengan pendapatan luar bandar adalah RM3,695 manakala bandar, RM6,548.

Dengan populasi yang menjangkau 3.3 juta orang pada tahun 2020 berbanding 2.8 juta sekarang akuinya, adalah sukar untuk negeri Sarawak mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi.

“Ini kerana ketika ini pendapatan per kapita negeri tersebut hanyalah RM50,000, berada jauh daripada pendapatan per kapita nasional, RM65,000.

Kerana itu katanya, Kerajaan Persekutuan perlu melihat perkara ini secara holistik.

Sarawak kini gigih memperjuangkan haknya yang terhakis sejak Perjanjian Malaysia 1963, malah berdasarkan perlembagaan, statusnya bukan sebagai negeri dalam Malaysia, sebaliknya wilayah rakan kongsi, kerana usul yang diluluskan di Parlimen pada 1976 itu tidak pernah diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri Sarawak. –Sarawakvoice