KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar petang semalam menegur ‘kebodohan’ beberapa wakil rakyat dari Semenanjung yang masih tidak menganggap Sarawak dan Sabah berada dalam Malaysia.

“Masih ada selepas beberapa tahun Malaysia ditubuhkan, orang bertanya kepada saya. Saudara ini dari Sarawak…kami di Malaysia ini, macam ini…macam ini.

“Saya masih berasa tersinggung apabila perkara ini berlaku,” katanya ketika membahaskan titah Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Dewan Rakyat petang semalam.

Tegas Wan Junaidi lagi: “ … nampaknya banyak kebodohan masyarakat bahkan termasuk wakil-wakil rakyat.

“Yang sini (Semenanjung) Malaysia, yang sana Sarawak dan Sabah.

Foto: IKIMfm

“Sepatutnya, sudah berpuluh tahun kita menjadi negara Malaysia, kita tidak terlupa akan perkara ini, walaupun kecil.

Kepada orang Sarawak katanya, yang kecil itu jangan berlonggok menjadi bukit.

Perjelasnya, Sarawak mempunyai keluasan yang hampir sama dengan Semenanjung dan mempunyai kekayaan yang luar biasa.

“Justeru itu, apabila Sarawak bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada negara ini dan menubuh negara Malaysia pada tahun 1963, bukan untuk menjadi miskin, bukan untuk berada jauh di belakang dan bukan untuk menjadi negeri mundur, dan bukan untuk tidak mendapat kemudahan-kemudahan yang sewajarnya daripada Kerajaan Pusat.

“Dalam keadaan demikian, Sarawak bersetuju dengan hakikat apa yang dijanjikan pada zaman itu, tahun 1963, kita realisasikan ke zaman ini,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice