MIRI: Seorang wanita terpaksa menanggung derita selepas cedera parah apabila rambutnya terlekat pada rantai motosikal dalam kejadian ragut di belakang Pusat Beli-Belah Boulevard, di sini petang tadi.

Insiden malang itu berlaku sekitar 3.15 petang ketika pekerja farmasi berusia 31 tahun itu sedang berjalan kaki di kawasan terbabit.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai, ketika sedang melalui lokasi tersebut, mangsa didatangi seorang lelaki bermotosikal dari belakang sebelum meragut beg tangan miliknya.

“Wanita malang itu terjatuh sebelum rambutnya terlekat pada rantai motosikal suspek.

Lebih menyedihkan, mangsa turut terheret beberapa meter di jalan raya dengan rambutnya tersekat pada motosikal yang sedang bergerak.

Hilang imbangan selepas wanita itu terheret sama, suspek yang panik, hilang kawalan dan terjatuh.

“Orang ramai yang menyedari kejadian itu segera menangkap suspek dan berlaku pergelutan menyebabkan suspek cedera dibelasah, sebelum diserah kepada polis.

Menurut Denis, mangsa kemudian diselamatkan dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Suspek yang ditangkap berusia 24 tahun dari Bandar Baru Permyjaya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. –Sarawakvoice