Saturday, August 20, 2022

Petronas perlu fahami pelaksanaan OMO1958, kekal mesra dan bekerjasama dengan Kerajaan Sarawak – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam berharap Petronas memahami tindakan Sarawak dalam melaksanakan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 dan Ordinan Pengagihan Gas 2016 bermula 1 Julai lalu.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil kerana mahukan peserta industri minyak dan gas di Sarawak yakin bahawa Kerajaan Sarawak adalah munasabah dan mesra perniagaan.

“Kerana itu kita menjangkakan Petronas selepas ini kekal mesra dan terus melaksanakan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri.

“Malah Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu telah berjanji untuk menyerahkan kepada Kerajaan Sarawak royalti minyak sebanyak 20 peratus, berbanding 5 peratus sebelum ini,” ujarnya sewaktu menyampaikan penggulungan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Katanya, ini menunjukkan bahawa Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan menyebelahi rakyat Sarawak dalam urusannya, sekurang-kurangnya, berkaitan dengan petroleum.

Berhubung tuntutan Petronas untuk menyemak kembali statusnya dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA1974), Abang Johari mengakui isu ini telah menyentuh hati seluruh rakyat Sarawak,

“Untuk rekod, Dewan Undangan Negeri Sarawak tidak pernah mengesahkan PDA 1974.

Kerana itu tegasnya, Kerajaan Negeri yang ditadbir Gabungan Parti Sarawak beriltizam dan berusaha keras untuk mendapatkan kembali hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

MA63 merupakan triti atau perjanjian antarabangsa antara Sarawak, Sabah, Singapura dan Malaya untuk membentuk Persekutuan Malaysia yang menjadikan Sarawak sebagai ‘rakan kongsi’ yang sama dengan Tanah Melayu dan Sabah.

“Di antara hak-hak tersebut adalah hak Sarawak untuk undang-undangnya sendiri, termasuk yang telah dibentuk sebelum pembentukan Persekutuan.

“Dan Ordinan Perlombongan Minyak 1974 adalah salah satu daripadanya.

Pada penghujung Jun lalu, Petronas mengambil keputusan untuk tidak mengiktiraf Ordinan Perlombongan Minyak 1958, malah memantau secara dekat akan perkembangannya. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru