Monday, August 15, 2022

Sarawak komited tangani serangan siber dalam pelaksanaan ekonomi digital – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak komited untuk menangani pelbagai ancaman siber ketika ia gigih menggerakkan ekonomi digitalnya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia diserlahkan menerusi penubuhan Lembaga Multimedia Sarawak atau SMA, yang bertujuan untuk menyediakan rangka kerja ekonomi dan undang-undang selari dengan aspirasi baharu itu.

“Kita sedar bahawa ketika ini semua usaha terarah kepada digitalisasi, dan keselamatan siber juga harus perhatian utama.

“Dan kerana itu Sarawak mengambil langkah yang sungguh-sungguh untuk memberikan perlindungan yang diperlukan kepada rakyat dan sistem yang akan dilaksanakan,” katanya pada ucap tama 3rd Annual Critical Infrastructure Protection and Resilience, Asia di sini pagi ini.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Tegasnya, Sarawak sedar bahawa internet merupakan satu keperluan utama di dunia dan Sarawak tidak terkecuali.

Malah menurut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), daripada 32 juta penduduk Malaysia, 24.5 juta pengguna (76.9 peratus) mempunyai akses kepada internet.

“Pada tahun 2017, kadar tembusan internet Malaysia telah meningkat kepada 85.7 peratus daripada hanya 70.0 peratus pada tahun 2015.

“Ia menunjukkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedang mengalami pertumbuhan pesat di Malaysia.

Malah Malaysia mempunyai kadar tembusan tertinggi dalam talian pembeli (67 peratus rakyat Malaysia dalam talian), diikuti oleh Thailand (57 peratus) dan Singapura (52 peratus).

“Antara negara ASEAN, Singapura adalah pasaran e-dagang runcit terbesar dengan 24 peratus, maka Malaysia dan Indonesia pada 19 peratus.

Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), 7 peratus pembeli dalam talian membuat pembelian hampir setiap hari, 26 peratus seminggu sekali, 54 peratus sebulan sekali dan baki 13 peratus membuat pembelian sekali setahun.

Kerana itu katanya, di Malaysia, Dasar Keselamatan Siber Nasional (NCSP) harus menjadi salah satu langkah penting yang perlu diambil untuk mengamankan ruang siber, selain menjadi asas kepada kewujudkan Malaysia e-Kedaulatan.

Untuk rekod, pada 2017, CyberSecurity Malaysia menerima sejumlah 7,962 insiden keselamatan siber yang dilaporkan ke Pusat Bantuan Cyber999.

Dari Januari hingga Jun 2018, terdapat 2,713 kejadian yang dilaporkan.

Insiden terbanyak yang dilaporkan adalah penipuan (1,769 insiden), pencerobohan (451 insiden), gangguan siber (142 insiden) dan kod jahat (141 insiden).

Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat berhubung ancaman siber di Malaysia termasuk trend ransomware (sejenis malware) yang mengunci data pada komputer mangsanya dengan melakukan penyulitan sambil penyerang tersebut kemudiannya menuntut bayaran tebusan untuk melepaskan kunci penyahsulitan.

CyberSecurity Malaysia menerima banyak laporan mengenai ransomware yang telah dimasukkan ke dalam kategori kod jahat. Sehingga November 2017, terdapat 740 kejadian kod jahat yang dibawa ke perhatian Cyber Security Malaysia.

Pada masa yang sama pelanggaran data terkini berkaitan 46.2 juta pelanggan nombor telefon bimbit di Malaysia juga adalah isu kritikal yang dipersoalkan dan dipercayai salah satu daripada pelanggaran data terbesar yang berlaku di negara ini.

Ini belum termasuk insiden pelanggaran data lain yang diketahui adalah kebocoran 81,309 rekod dari Majlis Perubatan Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Pergigian Malaysia). –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru