Thursday, December 8, 2022

Manifestasi lawatan Tun Mahathir ke Sarawak

Secara Rawak

Sarawak ialah negeri pembangkang pertama dilawati oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak beliau dilantik buat kali kedua dan sebagai Perdana Menteri ketujuh sejurus Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU 14).

Lawatan ini berlaku hasil daripada jemputan untuk menghadiri majlis perkahwinan cucu Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie Irok di sebuah di pusat peranginan eksklusif di Santubong, kira-kira 22 km dari bandar raya Kuching. Majlis tertutup ini menyebabkan pihak media tidak dibenarkan membuat liputan.

Hubungan baik Leo Moggie dengan Mahathir sudah begitu lama. Malah ketika era pemerintahan Mahathir, Leo Moggie dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pernah menjadi pembangkang di peringkat negeri Sarawak, namun menjadi sebahagian daripada kerajaan di peringkat persekutuan.

Leo Moggie juga pernah dilantik menganggotai kabinet persekutuan ketika pemerintahan Mahathir sebagai Perdana Menteri yang pertama dahulu. Tidak kurang 15 tahun Leo Moggie berkhidmat dalam kabinet Mahathir sebelum dilantik sebagai Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, iaitu pelantikan yang dilihat sebagai ganjaran politik kepada kesetiaan politik ketika bersama Dr Mahathir dalam pemerintahan negara.

Spekulasi Media

Sebelum lawatan bermula tercetuslah spekulasi bahawa lawatan Dr Mahathir ini akan membincangkan agenda memperkukuhkan hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Dikatakan juga pertemuan ini akan dimanfaatkan untuk meneliti perkembangan proses perundingan hak dan keistimewaan negeri ini di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang banyak diperkatakan di Sarawak.

Usaha tersebut pernah dipelopori bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem kini diteruskan oleh kerajaan negeri Sarawak. Malah dikatakan satu usaha untuk mendapatkan jalan penyelesaian terbaik mengenai isu PETRONAS – Sarawak berkisar hak perlombongan minyak serta gas di negeri Sarawak.

Spekulasi Meleset

Namun kedatangan Perdana Menteri pada kali ini lebih bersifat lawatan peribadi. Meskipun ada sesi taklimat pada hari berikutnya, namun menurut beberapa sumber, ia lebih kepada situasi mendengar isu dalam pertemuan tertutup tersebut. Difahamkan isu-isu yang dijangka dibincangkan seperti penurunan kuasa, pengembalian hak negeri, kemelut isu tuntutan Petronas ke atas sumber minyak dan gas negara tidak dibincangkan dalam pertemuan tertutup tersebut.

Tidak ada juga isu berbangkit mengenai seruan agar kerajaan Pakatan Harapan menghormati janji pentadbiran terdahulu termasuk pelaksanaan projek-projek yang pernah dibentangkan dalam Bajet 2018.

Hambatan Pembangunan

Yang dibangkitkan oleh Tun Dr Mahathir ialah hambatan pembangunan di Sarawak disebabkan oleh penghijrahan penduduk luar bandar ke bandar yang menyebabkan sektor luar bandar menjadi lambat untuk dibangunkan. Hal ini kerana pembangunan di Sarawak dilihat lebih bersifat pembangunan berkelompok kepada beberapa bahagian tertentu seperti Kuching, Miri dan Bintulu. Justeru, bahagian lain kurang mendapat tempias pembangunan apatah lagi faktor lokasi yang memperlahankan lagi pembangunan.

Isu pembinaan jalan raya turut mendapat perhatian Perdana Menteri yang melihat akan keperluan kos lebih tinggi.

Berdasarkan pengalaman dan situasi di Semenanjung Malaysia yang kini dibanjiri golongan pekerja tanpa izin dan keterbergantungan kepada pekerja asing, Perdana Menteri tidak mahu perkara ini berlaku di Sarawak dan perlunya mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Isu kekayaan sumber alam semula jadi menjadi perhatian Perdana Menteri khususnya aspek tanah dan sungai. Kekayaan sumber ini perlu dimanfaatkan oleh kerajaan negeri Sarawak dengan idea-idea yang kreatif agar dapat dimajukan dan memberikan faedah kepada rakyat Sarawak. Pada masa yang sama isu alam sekitar disarankan agar perlu diberikan perhatian khususnya dalam pembangunan tanah.

Sungai di Sarawak dilihat Tun Mahathir sebagai berpotensi dari segi pengangkutan dan penjanaan kuasa. Potensi yang ada ini diyakini dapat membawa pertumbuhan ekonomi Sarawak. Perdana Menteri percaya cara memanfaatkan sumber dengan sebaik-baiknya dapat membangunkan negeri Sarawak manakala aspek pelaburan asing pula boleh dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

Namun begitu, terdapat pihak yang hadir dalam taklimat tersebut menyatakan bahawa Perdana Menteri lebih banyak mendengar dan sekali sekala bertanyakan soalan.

Selepas taklimat tersebut, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang merupakan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) bernekad untuk terus bekerjasama dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi memastikan Sarawak terus membangun khususnya dari segi pembangunan infrastruktur meskipun fahaman politik berbeza.

Kerajaan negeri menurut Johari sebenarnya turut memberi penekanan kepada pembangunan secara menyeluruh agar bahagian dan penduduk dapat merasai pembangunan tersebut bersama-sama.

Lawatan singkat ini menunjukkan Tun Dr Mahathir ialah Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama dan termasuk di negeri pembangkang.

Manifestasi Hasrat

Sebelum ini Perdana Menteri pernah melahirkan hasrat Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk bertapak di Sarawak dan kini dikatakan sudah banyak cawangan ditubuhkan.

Justeru, kehadiran Dr Mahathir ialah manifestasi hasrat PPBM untuk masuk ke Sarawak.
Taklimat tertutup tersebut dapat memberikan senario semasa yang dapat menguntungkan informasi isu strategik mengenai pembangunan di Sarawak.

Apa-apa pun, hubungan dua hala ini perlu diperkukuhkan dalam apa-apa sahaja keadaan politiknya untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terbina.

Pada masa sama akan perlunya wujud semak dan imbang sama ada di peringkat persekutuan atau Sarawak untuk memastikan integriti pembangunan ini dapat dilaksanakan dengan lebih baik lagi. –Sarawakvoice

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru