MUKAH: Seorang lelaki bertindak di luar kawalan, dengan melepaskan tembakan amaran dalam kejadian amuk di sebuah rumah panjang di Selangau semalam.

Difahamkan lelaki berusia 48 tahun itu bertindak sedemikian selepas bengang dengan sekumpulan remaja yang bermain bola sepak di ruang tamu rumah panjang berkenaan.

Tidak tahan dengan bunyi bising, lelaki tersebut yang berada di dalam biliknya sendiri bingkas bangun sebelum mengambil senapang patah dan melepaskan tembakan tanda amaran.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Jimmy Panyau mengesahkan insiden berkenaan.

“Berlaku kekecohan di sebuah rumah panjang di Selangau semalam apabila seorang lelaki berusia 48 tahun tiba-tiba mengamuk dan melepaskan tembakan amaran menggunakan senapang patah.

“Suspek bertindak demikian kerana tidak tahan dengan bunyi bising oleh sekumpulan remaja yang bermain bola sepak di ruang tamu rumah panjang berkenaan,” katanya.

Laporan polis telah dibuat sebelum pihaknya menahan lelaki berkenaan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 kanun sama kerana kesalahan ugutan jenayah.

Jimmy berkata, suspek turut direman empat hari sehingga 19 Julai ini untuk membantu siasatan.

Polis katanya, telah merampas beberapa barangan milik suspek, termasuk selaras senapang patah, peluru dan lesen memiliki senjata api. –Sarawakvoice