Friday, August 19, 2022

Kerajaan PH pegang pada prinsip bercakap benar – Guan Eng

Secara Rawak

GEORGE TOWN: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memegang kepada prinsip untuk bercakap benar mengenai keadaan ekonomi negara walaupun ada pihak menyatakan ia akan menakutkan pelbagai pihak termasuk pelabur.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata prinsip bercakap benar dan mencari kebenaran adalah pendirian kerajaan baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya akan teruskan prinsip bercakap benar tetapi jikalau bercakap benar ini akan membuat pelabur takut, maka kita tidak mahu pelabur seperti itu,” katanya berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih di sini, malam tadi.

Lim berkata untuk tempoh dua atau tiga tahun ini negara akan menghadapi banyak cabaran tetapi keadaan akan bertambah baik selepas itu seperti ketika Pulau Pinang diambil alih oleh pembangkang 10 tahun lalu dan kini berada di landasan yang berbeza dan semakin baik.

“Selepas satu penggal, rakyat boleh lihat perbezaan di antara kerajaan dahulu dengan kerajaan sekarang,” kata Lim yang juga ADUN Air Putih.

Dalam pada itu, beliau turut meminta rakyat bersabar dan berjanji akan menunaikan manifesto yang telah dijanjikan oleh kerajaan PH kepada rakyat setelah krisis kewangan selesai.

Lim sebelum ini pernah dikritik apabila pendedahan demi pendedahan yang dibuatnya berhubung skandal 1Malaysia Development Board (1MDB) dilihat memberi impak kepada pelabur asing sehingga ada yang menarik diri.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru