Thursday, September 29, 2022

Tuntut hak MA63, langsung tiada kaitan sentimen S’wak keluar M’sia

Secara Rawak

KELUAR dari Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), bukan bermakna Kerajaan Sarawak mahu mencetuskan fahaman keluar dari Malaysia.

Begitu juga apabila menuntut hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tiada kaitan dengan usaha yang dicanangkan oleh sesetengah pihak yang “begitu bernafsu” membawa Sarawak keluar dari Malaysia.

Membaca komen negatif di media sosial, sentimen “keluar Malaysia” seperti itu sengaja ditiup atau dicetuskan oleh individu atau kumpulan tertentu.

Mereka ini jika “tiada modal berhujah” atau “kalah berhujah” mengambil jalan mudah, “menanam modal” mengajak Sarawak keluar dari Malaysia!

Sewajarnya dalam mengharungi 55 tahun merdeka dan sudah lebih setengah abad bersama-sama Malaysia, kita bersatu hati merapatkan muhibah, menguatkan perpaduan nasional dan mengukuhkan jati diri sebagai rakyat berdaulat Malaysia!

Bukan sebaliknya…

Sarawak dalam tuntutan ke atas penguasaan sumber minyak dan gas, Kerajaan Sarawak bertegas mengambil haknya dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu dalam kawal selia sumber tersebut di bumi ini.

Semangat ini kuat dan terpuji sesuai dengan semangat kebersamaan selama ini.

Memperteguh Hak Minyak dan Gas Melalui Pindaan OMO — Abg Johari

Mengutip tekad Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta Allahyarham Pehin Seri Adenan Satem sebelum ini, bahawa kerajaan bertekad menuntut hak dan kuasa Sarawak di bawah MA63 dan Perlembagaan Malaysia yang sudah terhakis.

Abang Johari hanya memasuki pemerintahan tahun kedua sebagai ketua menteri.

Manakala, Adenan berkuasa tiga tahun — sementara Sarawak bersama Malaysia sudah 55 tahun.

Dari segi masa — dari sini sudah cukup adil untuk sesiapa ingin menilai perjuangan mereka dalam mempedulikan nasib dan masa depan Sarawak.

Jika kita mahu dilayan dengan adil, kita juga perlu menimbang dengan adil perkara atau isu berkaitan orang lain.

Abang Johari dalam perjuangan politiknya menuntut hak Sarawak, turut yakin bahawa situasi menyebelahi Kerajaan Negeri dalam menegakkan Ordinan Pelombongan Minyak (OMO) yang memberi kuasa bagi negeri menguasai industri minyak dan gas.

Beliau bersyukur kerana pindaan Rang Undang-Undang (RUU) OMO telah memperkuat dan mempertingkat kuasa Sarawak dalam industri minyak dan gas ini.

Malaysia Tidak Wujud Jika Sabah, S’wak tidak Menyertai dan Membentuknya — Adenan

Kita percaya, semangat Sarawak bersama Malaysia adalah sehaluan dengan ucapan mantan ketua menteri sebelum ini, Allahyarham Pehin Seri Adenan Satem bahawa Malaysia tidak akan wujud jika Sabah, Sarawak, Singapura tidak menyertai dan membentuk Malaysia.

Dari sinilah sebagai ketua menteri Abang Johari meneruskan usaha mendapatkan kembali hak sebuah wilayah yang berada dalam Persekutuan.

Sebuah “Malaysia Gembira” ialah Hak Ahli Dalam Persekutuan Dijaga Baik

Abang Johari bertegas, asas bagi “sebuah negara Malaysia yang gembira” ialah semua ahli dalam Persekutuan dijaga dengan baik.

Di sinilah secara waras dan jelas bahawa menuntut hak yang terhakis tidak berkaitan dengan sentimen bahawa Sarawak perlu keluar dari Malaysia atau mahu keluar setelah hidup bersama lebih lima dekad…

Rundingan Kunci Menuntut Hak

Rundingan merupakan kata kunci bagi meneruskan usaha mendapatkan semula hak terhakis ini kerana sepanjang 55 tahun tentulah banyak situasi berubah termasuk melibatkan undang-undang yang terbentuk.

Jika ada sesiapa berkata, “mengapa tidak ambil begitu sahaja” atau “lupakan tindakan Persekutuan” — anda perlu faham dengan mengambil contoh isu tuntutan Petronas berkaitan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 yang dibawa ke mahkamah bulan lepas, ia sudah menjadi begitu kompleks untuk difahami…

Sepanjang tempoh 55 tahun dengan pembentukan Malaysia pada 1963, manakala PDA wujud 1974, bermakna ia wujud selepas MA63 dan termaktub sebagai sebuah akta.

Adakah sesiapa mahu “berlawan” dengan tangan kosong atau tanpa persiapan wajar menghadapi tuntutan ini menurut undang-undang, pada masa yang sama anda juga sedang membuat tuntutan lebih besar.

Jadi, usaha mendapatkan hak tersebut pasti dilakukan menerusi rundingan, dengan mengambil kira pelbagai aspek, mengambil semangat bagaimana negara kita merdeka secara rundingan dan diplomasi dengan penjajah British dahulu.

Sejarah dunia sudah mengajar, betapa banyak kemenangan sudah dicapai di meja bulat sebuah rundingan dan diplomasi, tanpa perlu menumpah setitis air mata, apatah lagi setitik darah pun!

Ya, rundingan, bukan perang atau revolusi.

Kenapa anda perlukan revolusi dalam keadaan negara aman dan terpuji di mata dunia.

Ketika kita sudah dapat bersabar 55 tahun, kenapa tidak dapat menunggu tiga atau lima tahun lagi untuk memetik hasilnya! –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru