Dr Maza: Islam tak iktiraf amalan seks songsang

0
6

KUALA LUMPUR: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan Islam sebagai agama fitrah tidak akan mengiktiraf amalan seks songsang kerana menganggap perbuatan tersebut keji meskipun ada pihak mendesak hubungan sebegitu diiktiraf atas dasar hak asasi manusia.

Katanya, homoseksual merupakan satu dosa namun ia tidak menjadikan pelakunya terkeluar daripada Islam dan kadar dosa mereka hanya diketahui Allah.

“Pengamal perbuatan ini, selagi tidak menghalalkannya, maka dia seorang muslim yang berdosa sepertimana pendosa-pendosa yang lain. Kadar dosa hanya diketahui oleh Allah,” katanya.

Mohd Asri berkata, seks sesama jenis merosakkan fitrah dicipta Tuhan dan jika ia diterima bermakna kemungkinan seks dengan haiwan atau sesama mahram kelak akan diikitiraf menggunakan asas sama.

Mufti Perlis itu berkata, laras bahasa diguna dalam mengimbangi hujah bahawa mereka, golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual) juga mempunyai hak sebagai manusia hendaklah berkesan dan difahami oleh generasi kini.

Foto: Bernama

“Kita wajar menjelaskan kepada mereka bahawa Islam menolak seruan dan amalan seks yang songsang tersebut namun dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf sudut-sudut yang lain dari segi keinsanan dan persaudaraan sesama Muslim,” katanya melalui catatan Facebooknya.

Beliau yang turut dikenali sebagai Dr Maza berkata, ajaran Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada ALLAH dengan penuh penuh cinta dan taubat.

“Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik,” katanya.
“Golongan LGBT sama seperti kita semua. Di hadapan terbentang luas pintu untuk kembali kepada Tuhan Yang Maha Penyayang,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, dakwah mengajak golongan LGBT kembali kepada fitrah merupakan dakwah mulia dan usaha mereka yang terjebak kembali kepada kehidupan normal merupakan satu ibadah dan pahala besar.

“Tugasan kita bersama ialah membantu antara satu sama lain kembali kepada ALLAH dan mendapatkan keampunan-Nya,” katanya.

Beliau berkata, dakwah agar golongan LGBT kembali kepada fitrah merupakan dakwah yang mulia.

“Usaha agar mereka kembali kepada kehidupan yang normal merupakan satu ibadah dan pahala yang besar. Dakwah itu menuntut kita mencari pendekatan yang terbaik dan sesuai dengan keadaan mereka yang kita dakwah itu,” ujarnya. –Sarawakvoice