KUCHING: “Sistem tebangan secara memilih” kini telah dilpraktiskan di kawasan konsesi pembalakan terutamanya di kawasan hutan simpan kekal di Sarawak, kata Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Semula Jadi, Datuk Len Talif Salleh.

Menurutnya, berdasarkan sistem ini, hanya pokok-pokok matang yang berdiameter 60 cm ke atas untuk spesies Dipterocarp dan 45 cm ke atas bagi spesies non-Dipterocarp yang boleh ditebang.

“Pokok yang berdiameter kurang daripada had diameter tebangan pula akan dibiarkan untuk membesar secara semula jadi,”katanya ketika menjawab soalan Datuk Tiong Thai King, Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong.

Justeru itu katanya, kawasan hutan yang mempunyai pertumbuhan semula jadi yang kurang memberangsangkan akan dikenal pasti bagi tujuan program pemulihan seperti aktiviti silvikultur dan penanaman mengaya dengan spesies komersial tempatan.

“Ini untuk memastikan stok dirian hutan yang berkekalan untuk kitaran tebangan 25 tahun yang akan datang.

Foto: Sarawakiana

Katanya, antara kawasan yang dilaksanakan program penghutanan semula termasuklah hutan konsesi, kawasan terlindung sepenuhnya dan tanah kerajaan yang terosot.

“Selain itu, Jabatan Hutan Sarawak juga mempunyai program kolaborasi dengan agensi dan pelbagai pertubuhan di dalam dan luar negara bagi melaksanakan aktiviti penanaman semula hutan.

“Hal ini termasuklah program kesedaran awam yang melibatkan pihak sekolah, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan, sektor korporat dan orang awam,”ujarnya.

Sehingga tahun 2017, seluas 1,508 hektar yang merangkumi program penanaman di kawasan hutan darat dan hutan pesisir pantai telah berjaya dilaksanakan.

Sementara itu, jumlah kutipan hasil dari pengeluaran balak adalah RM522 juta yang meliputi royalti, premium dan ses.

Kerajaan Negeri tambahnya, juga tidak pernah mengeluarkan sebarang Provisional Lease (PL) bagi tujuan program penghutanan semula.

“Kerajaan hanya mengeluarkan lesen ladang hutan untuk tujuan penanaman pokok yang cepat tumbuh dan bernilai tinggi.

“Oleh itu, penubuhan ladang hutan memerlukan pihak pelesen menjalankan penebangan secara sistematik bagi mengurangkan kesan terhadap alam sekitar dan mencapai hasil yang optimum.

Semua aktiviti yang terlibat dalam penebangan hutan asli dan penanaman ladang hutan tegasnya, adalah tertakluk kepada kelulusan Penilaian Alam Sekitar (EIA) daripada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB). –Sarawakvoice