KUALA LUMPUR: Pengguna Internet yang melayari laman sesawang lucah akan dipantau melalui kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam mengesahkan perkara ini, Timbalan Menteri KKMM Eddin Syazlee Shith berkata laman sesawang terbabit akan turut disekat dalam tempoh terdekat menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Selain laman sesawang berunsurkan lucah, pemantauan web lain termasuk yang berunsurkan perjudian akan turut dikaji,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 di Angkasapuri di sini, semalam.

“Memang menjadi satu perkara yang diperjuangkan kerajaan sekarang untuk menyekat dan mengekang laman web yang tidak berfaedah dan bukan-bukan,” katanya.

Media semalam melaporkan bahawa satu unit baharu PDRM, Unit Siasatan Jenayah Siber (Internet) Terhadap Kanak-kanak Malaysia (Micac) ditubuhkan dengan kemampuan memantau mereka yang melayari kandungan lucah di alam siber, terutamanya pornografi kanak-kanak.

Dalam membuat pemantauan, unit berkenaan yang dilengkapi peralatan canggih juga akan mengesan kekerapan dan jenis kandungan lucah yang dimuat naik serta dimuat turun pengguna berkenaan bagi tujuan pendakwaan nanti.–BERNAMA