BANGKOK: Jurulatih Ekk atau nama sebenar Ekapol Chantawong, 25, membesar sebagai anak yatim piatu.

Dialah yang bertanggungjawab membawa anak-anak dari pasukan Mu Pa atau Wild Boars yang dilatihnya memasuki Gua Tham Luang sehingga hilang sekitar lebih seminggu dan kemudian berjaya dijumpai penyelamat.

Memasuki hari ke-17 terperangkap di gua yang dipenuhi air, akhirnya kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari gua dibanjiri air musim hujan itu dengan Ekk menunaikan janjinya menjadi orang terakhir keluar.

Sebelum dijumpai, Ekk dikatakan menjadi pelindung dan tempat bergantung kesemua mangsa berusia 11-16 tahun itu menghadapi “kekangan” yang mereka hadapi di gua bahaya itu tanpa bekalan air bersih dan makanan mencukupi.

“Saya berjanji menjaga budak-budak itu sebaik mungkin. Saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala sokongan yang diberi,” tulis Ekk melalui sepucuk surat ditulis
untuk ibu bapa “di luar gua” ketika nasib mereka diserbu pertaruhan masa dengan hujan lebat dikhuatiri menenggelamkan semua ruang gua.

Selepas kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari gua tersebut, ibu bapa dan warga Thailand enggan menghukum dengan meletakkan kesalahan di bahu Ekk semata-mata — sebaliknya Ekk diangkat menjadi wira bagi tragedi mencemaskan itu.

Terdapat keluarga mangsa memberi komen positif terhadap Ekk yang dikatakan seorang yang baik.

Ekk mengajar remaja terbabit melakukan meditasi bagi menenangkan jiwa sepanjang terperangkap di gua berkenaan. –Sarawakvoice

Foto: Page Tales of an Educated Debutante