Monday, August 8, 2022

Pekerja ladang maut, dua motosikal bertembung di Betong

Secara Rawak

BETONG: Pertembungan dua buah motosikal mengakibatkan seorang lelaki maut dalam insiden di Jalan Tanjung Assam di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar 4.35 petang itu, mangsa, warganegara Indonesia yang dikenali sebagai Darmin, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, insiden malang itu berlaku berhampiran Ladang Lingga, dekat Kampung Sebemban.

“Dipercayai ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan menuju ke Tanjung Assam.

“Semasa melewati lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggang mangsa telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung sebuah motosikal,” katanya.

Impak pelanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal terbabas ke tepi jalan manakala Darmin terbaring di tengah jalan.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi nahas.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Betong untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru