MIRI: Ketua Menteri menegaskan Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan wadah terbaik untuk mempertahankan hak Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 berbanding dengan Barisan Nasional (BN).

Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, keputusan empat parti komponen BN Sarawak untuk keluar daripada perikatan berkenaan dan menubuhkan GPS pada 12 Mei lalu adalah demi rakyat Sarawak.

“Sarawak tidak akan dapat pertahankan hak yang terhakis jika masih di bawah BN,” kata Abang Johari yang juga Pengerusi GPS dalam ucapannya, semalam.

Beliau berkata demikian pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Ketua Menteri anjuran bersama Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri dan Gabungan Kesatuan Islam Miri di Stadium Tertutup Miri.

Mengulas lanjut ketika masih di bawah BN, beliau berkata setiap parti komponen perlu akur kepada keputusan yang dibuat pucuk pimpinan parti termasuk ketika di Dewan Rakyat sesuai dengan arahan ketua.

Lagipun, jelasnya, menurut peraturan BN, parti komponen perlu akur kepada keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan di Kuala Lumpur.

Dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu, BN menang 79 daripada 222 kerusi Parlimen sekali gus menyaksikan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk kerajaan.

Sejak itu, satu per satu parti komponen keluar dan kini hanya tinggal UMNO, MCA dan MIC bersamanya. –Sarawakvoice

Foto : FB Rosdi Haji Nawi