ALOR SETAR: Kerajaan akan menggunakan sistem tender terbuka dengan meluas dan telus bagi projek kerajaan terutama yang berskala besar agar setiap sen wang rakyat dapat dibelanja dengan baik, kata Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Ini kerana kerajaan membelanjakan lebih RM100 bilion setahun untuk perolehan melalui pelbagai projek dan kontrak dan ia adalah satu jumlah yang agak besar.

“Dengan jumlah yang begitu besar amat penting supaya tidak berlaku pembaziran dan menjadi kewajiban kerajaan untuk sentiasa memastikan wang ini dibelanjakan secara berhemah.

“Kerajaan Pakatan Harapan akan menambah baik sistem perolehan dan pemberian kontrak kerajaan demi memastikan ia lebih berdaya saing dan seterusnya menjana nilai yang terbaik untuk wang rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Pegawai Kanan Jabatan Kerja Raya di sini hari ini.

Dalam pada itu beliau berkata kementerian menyasarkan penggunaan sekurang-kurangnya Tahap 2 Building Material Information (BIM) pada tahun hadapan bagi projek kerajaan bernilai lebih RM100 juta sejajar dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).

Pada masa ini tahap pelaksanaan projek kerajaan tertumpu kepada pemakaian Industrialised Building System (IBS) pada peringkat pembinaan namun masih kurang menggabungkan kedua-dua sistem itu dalam satu projek.

“Saya percaya inisiatif transformasi JKR untuk mempertingkatkan keberkesanan sistem penyampaian projek kerajaan melalui perluasan penggunaan BIM dalam projek bangunan akan jadi platform pembangunan Artifical Intelligence, Smart Total Asset Management dan Smart City dalam menuju Revolusi Industri 4.0,” katanya.

BMI melibatkan proses pembangunan dan pengurusan maklumat digital berasaskan model 3D yang melibatkan analisis pertembungan reka bentuk, simulasi pembinaan, automasi penyediaan lukisan koordinasi, lukisan siap bina dan sistem pangkalan data bersepadu.

Sehubungan itu, kementerian bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyediakan kemudahan MyBIM Centre dan MyBIM Library untuk kegunaan penggiat industri pembinaan selain menyarankan pegawai JKR mengambil peluang melalui kursus-kursus yang telah disediakan.

Seramai 400 pegawai kanan JKR seluruh negara menyertai mesyuarat itu.– BERNAMA