Sarawak sambut baik langkah kaji semula cukai pelancongan

0
4

MIRI: Cukai Pelancongan yang dikenakan sejak 1 Sept 2017 perlu dimansuhkan bagi menarik kedatangan lebih banyak pelancong ke negara ini.

Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sarawak, John Teo Peng Yew berkata senario industri pelancongan Sarawak agak berbeza dengan negeri lain dan cukai itu memberi kesan buruk terhadap pelancong asing yang melawat negeri ini kerana kos perjalanan sedia ada untuk ke Sarawak sudah pun mahal.

“Perbelanjaan untuk perjalanan ke Sarawak memang jauh lebih mahal berbanding untuk ke destinasi lain seperti Bali, Bangkok, Hong Kong atau Taiwan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Teo berkata banyak agensi pelancongan luar negara bersungut bahawa tambang penerbangan untuk ke Sarawak terlalu mahal, sedangkan tiket untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sibu hanya RM1,145 (RM2,000 pergi balik), manakala tambang pergi balik dari Kuala Lumpur ke Bangkok hanya RM409.

“Susahlah bagi kami untuk menjual Sarawak kerana tambang penerbangan yang mahal, tambahan pula dengan Cukai Pelancongan sebanyak RM10, sudah tentulah semakin banyak pelancong tidak berminat untuk datang melawat Sarawak dan oleh itu, kami perlu menyelesaikan masalah tambang udara terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk menambahkan lagi beban kepada pelancong yang ingin datang ke Sarawak,” katanya.

Gambar hiasan

Di samping itu, jelas beliau, 90 peratus tetamu yang menginap di hotel di Sarawak adalah rakyat negeri ini, yang mempunyai urusan perniagaan.

“Tidak sampai lima peratus adalah orang asing, lima peratus lagi dari negeri lain di Malaysia dan kebanyakan orang asing pula terdiri daripada pelancong beg galas yang tinggal di inap desa bajet,” katanya.

Beliau berkata, dengan keadaan itu, cukai 10 peratus yang dikenakan terhadap orang asing tidak memberi banyak hasil kepada kerajaan, sebaliknya akan mengurangkan jumlah pelancong yang datang ke Sarawak.

“Terdapat terlalu banyak motel bajet/Inn /inap desa tidak berlesen di Sarawak dan premis ini tidak mengutip Cukai Pelancongan. Ini mendorong pelancong asing untuk tinggal di hotel tidak berlesen,” katanya.

Selasa, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi dipetik sebagai berkata kadar cukai sama rata RM10 sebilik semalam yang dikenakan terhadap orang asing yang tinggal di hotel dan tempat penginapan persendirian berdaftar, akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak menjejaskan ketibaan pelancong ke negara ini.– BERNAMA