Friday, December 2, 2022

Hubungan dingin selepas kes pembunuhan Altantuya: Wan Azizah terima undangan tak dijangka daripada Presiden Mongolia

Secara Rawak

ULAANBAATAR – MONGOLIA. Timbalan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat undangan tidak dijangka untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden Mongolia, Khaltmaa Battulga, di istana negara pada petang Rabu.

Dr Wan Azizah berkata beliau mendapat undangan itu pada Rabu semasa menghadiri Persidangan Menteri Asia bagi Pengurangan Risiko Bencana (AMCDRR), tujuan beliau melakukan lawatan di Mongolia.

“Ia tidak dijangka,” katanya semasa ditemui wartawan Malaysia selepas beliau selesai mengadakan beberapa mesyuarat dan pertemuan berkaitan dengan AMCDRR pada Rabu.

Pertemuan dengan Presiden Mongolia tidak tersenarai dalam jadual lawatan asal beliau.

Dr Wan Azizah tiba di sini pada Selasa untuk menghadiri AMCDRR. Ia adalah lawatan kerja julung kali beliau ke luar negara sebagai timbalan perdana menteri Malaysia.

Semasa ditanya tentang pertemuan yang bakal diadakan dengan presiden itu, Dr Wan Azizah berkata pada pertemuan itu beliau akan memaklumkan bahawa di Malaysia kini setiap orang perlu mematuhi kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata Malaysia juga bersedia menimbangkan untuk menjalin kerjasama dalam lebih banyak bidang dengan Mongolia.

Malaysia berharap untuk memperkukuhkan hubungan dua hala dengan Mongolia selepas mengalami hubungan yang suram sejak beberapa tahun lepas yang kemudiannya bertukar menjadi ‘dingin” susulan kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dekat Kuala Lumpur . pada 2006

Duta Besar Malaysia ke China yang turut ditauliahkan ke Mongolia, Datuk Zainuddin Yahya, dalam menzahirkan impiannya berkata beliau berharap lawatan Dr Wan Azizah ke Mongolia akan dapat memulihkan semula hubungan itu.

Altantuya dipercayai ditembak mati sebelum mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di kawasan hutan sekunder berhampiran Empangan Subang di Puncak Alam, Shah Alam pada 2006.

Bekas anggota Unit Tindakan Khas Sirul Azhar Umar, dan rakannya Azilah Hadri disabitkan kesalahan membunuh Altantuya dan dijatuhi hukuman mati.BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru