Tuesday, September 27, 2022

Kerjasama Bernama, RTM tingkatkan produktiviti – CEO Bernama

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Cadangan kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi Bernama News Channel (BNC) dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilihat dapat meningkatkan produktiviti dalam menyalurkan maklumat kepada rakyat, khususnya yang berkaitan agenda dan aspirasi kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Datuk Zulkefli Salleh berkata kedua-dua organisasi media itu mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing dengan Bernama menghasilkan berita manakala RTM dalam bidang penerbitan dokumentari dan program.

“BNC menghasilkan berita audio visual untuk RTM manakala RTM menyiarkan program dan dokumentari untuk siaran BNC. Bernama dan RTM masing-masing akan terus kekal tetapi kerjasama ini melibatkan sumber di kedua-dua agensi digabungkan untuk meningkatkan kualiti produk,” katanya selepas menyampaikan amanat sempena perhimpunan bulanan Bernama di sini, hari ini.

Zulkefli berkata perkara itu yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, kini dalam perbincangan peringkat pegawai antara Bernama dan RTM dan akan dibentangkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo pada minggu ini.

Khamis lepas, Gobind Singh berkata satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi mengkaji secara mendalam cadangan penggabungan RTM dan Bernama yang mana jawatankuasa itu merangkumi pihak daripada pelbagai latar belakang untuk meneliti dan mempertimbangkan cadangan penggabungan dua entiti media di bawah kementerian itu.

Sementara itu, Zulkefli dalam amanatnya mengingatkan petugas untuk melaporkan berita-berita positif mengenai dasar dan program kerajaan ke arah mewujudkan masyarakat yang lebih bertoleransi antara satu sama lain.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru