Monday, August 15, 2022

Baru Bian, Menteri Kerja Raya; Chong Chieng Jen, Timbalan Menteri KPDNHEP

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian sebentar tadi mengangkat sumpah sebagai Menteri Kerja Raya yang baharu di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Istana Negara.

Baru, 59 tahun dari Lawas merupakan anak Lun Bawang yang pertama dilantik ke jawatan itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sarawak yang berkelulusan Undang-undang daripada Universiti Melbourne itu memperoleh 11,228 undi untuk menang dengan majoriti 486 undi terhadap calon Barisan Nasional daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS), Rita Sarimah Patrick Insol.

Beliau yang juga Adun Ba’kelalan mencipta kejutan kerana menjadi Orang Ulu pertama yang bertanding di kerusi majoriti Iban, setelah penyandangnya yang juga bekas Timbalan Presiden PRS, Datuk Joseph Entulu Belaun dipecat.

Turut mengangkat sumpah ialah Ahli Parlimen Stampin, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Sarawak, Chong Chieng Jen, sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Chieng Jen, merekodkan sejumlah 33,060 undi untuk menewaskan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian yang sekadar mengutip 18,839 undi di Parlimen Stampin.

Chieng Jen, 47 tahun, mula menyertai Dewan Rakyat pada tahun 1999 sebagai Ahli Parlimen Bandar Kuching. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru