Tuesday, September 27, 2022

Jangan percaya, taasub kepada ahli politik — Dr Faisal S Hazis

Secara Rawak

KUCHING: Perubahan rejim tidak semestinya membawa perubahan kepada negara kita, kata penganalisis politik, Dr Faisal S Hazis petang tadi.

Menurutnya, rakyat terpaksa menerima hakikat itu kerana setiap perubahan akan mewujudkan sindrom mengharap, dan pada masa yang sama lebih berhati-hati.

“Tetapi yang pasti, mengekalkan Barisan Nasional (BN) juga tidak akan membawa perubahan,” katanya ketika menjadi panel forum politik pascaPRU14: “Malaysia Baru: Adakah Rakyat Boss!” di sini petang tadi.

Katanya lagi, dalam konteks hari ini, rakyat tidak seharusnya mempercayai ahli politik.

“Jangan percaya ahli politik secara membuta tuli dan taasub.

“Sebelum ini, kita meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pimpinan Barisan Nasional (BN).

Dan dalam Malaysia Baru katanya, kepercayaan sepenuhnya diberikan kepada Pakatan Harapan (PH).

“Kita tidak patut lakukan itu.

“Tengok muka-muka itu! Sekarang boleh percaya, Selepas dua tahun, tiga tahun … penggal kedua dah macam-macam. Anda perlu berhati-hati dengan mereka,” katanya sambil menunjuk ke arah dua ahli panel lain; Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yee dan Adun Batu Lintang, See Chee How.

Kedua-duanya tersenyum sipu manakala hadirin gelak besar.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kata Dr Faisal, istilah “tsunami” diperkenalkan untuk menggambarkan sokongan menguncup kepada Barisan Nasional.

“Dalam pilihan raya kali ini, impaknya lebih besar daripada tsunami.

“Setelah puas mencari istilah, saya namakannya ‘gempa bumi’ BN bagi menggambarkan apa yang berlaku,” katanya.

Akuinya, kebanyakan saintis politik tidak dapat menjangka keputusan dalam pilihan raya tersebut.

“Kita lihat trend sejarah, untuk menganalisis dan memahami apa yang berlaku.

“Tetapi apa yang berlaku pada 9 Mei lalu, semua trend sejarah itu tidak dapat digunakan.

PH menang 130 kerusi namun PH tidak ada majoriti kukuh di Parlimen.

“Kerana itu kita harus faham kenapa Gabungan Parti Sarawak ditubuhkan dan keluar BN. Juga faham kenapa Tun M umumkan Bersatu akan masuk Sarawak, dan kenapa Tun M tidak menyebut nama “gajah di dalam bilik” sewaktu di Indonesia.

“Gajah” pada hemat Faisal merujuk Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan beliau tidak percaya tiada laporan rasuah terhadapnya.

“Kita harus memahami apa yang berlaku ini bertujuan untuk menyeimbangkan antara realiti dan harapan rakyat Malaysia pasca PRU14,” jelasnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru