Saturday, December 3, 2022

PM: Bantuan untuk Melayu, bumiputera diteruskan

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Di sebalik kebimbangan tentang nasib melayu dan bumiputera selepas Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan, Perdana Menteri semalam memberi jaminan beberapa dasar polisi untuk membantu orang Melayu dan bumiputera bakal diteruskan.

Ini adalah bagi merapatkan jurang perbezaan dan sebagai sebahagian daripada usaha mengelakkan konflik dengan kumpulan etnik ‘lebih kaya’ seperti Cina.

Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, ada bahagian dan bidang tertentu yang tindakan afirmatif masih perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

“Kami telah mengurangkan jurang antara orang Melayu dan kebanyakan orang Cina, tetapi ada bidang tertentu yang memerlukan kami memberi orang Melayu sedikit dorongan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama Channel News Asia.

Bantuan yang akan diteruskan menurut Dr. Mahathir termasuk pemberian biasiswa untuk menyambung pengajian di luar negara.

“Sebagai contoh, semasa saya di United Kingdom (UK), saya telah bertemu dengan beberapa pelajar Cina. Mereka berada di sana kerana ayah mereka, keluarga mereka mampu membayar pengajian,” katanya dalam wawancara dengan stesen TV yang berpangkalan di Singapura itu.

Ujar Perdana Menteri, beliau mendapati keluarga Melayu, sebahagian besarnya tidak mampu membiayai pengajian universiti untuk anak-anak mereka.

Katanya, sebahagian besar orang Cina terlibat dalam perniagaan dan menerusi bidang itu mereka mampu menjana duit yang banyak.

“Berbeza dengan orang Melayu, sebahagian besarnya merupakan penjawat awam dan bekerja makan gaji. Jadi tidak mampu menghantar anak mereka ke universiti kerana kosnya sangat mahal hari ini,” jelas beliau.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir menegaskan, meneruskan polisi untuk membantu orang Melayu tidak bermaksud kerajaan hanya memikirkan mengenai golongan itu.

Katanya, jurang dalam masyarakat adalah tidak baik walaupun hanya melibatkan etnik tunggal kerana ini berpotensi mencetuskan konflik.

Tegasnya, apabila yang kaya hanya terdiri daripada satu kaum manakala yang miskin satu kaum lain, potensi untuk tercetus konflik adalah lebih besar. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru