Friday, October 7, 2022

Sarawak bakal terima dua jentera ALP, bagi padamkan kebakaran bangunan tinggi — Ketua Pengarah

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak bakal menerima dua jentera pemadam api jenis Aerial Ladder Platform (ALP), bagi membantu kerja-kerja pemadaman di tempat tinggi.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Mohamad Hamdan Wahid berkata, ia merupakan sebahagian daripada 22 jentera terbaharu milik jabatan itu, yang setiap satunya berharga RM6 juta.

“Ia akan digunakan untuk melaksanakan kerja-kerja menyelamat di mana tiada akses keluar untuk mangsa, selain melakulan pemadaman di sudut sukar, atau tiada ruang untuk pasukan bomba masuk bagi memadamkan kebakaran.

“ALP boleh menaik maksimum 37 meter, manakala ketika tidak beroperasi setinggi 4 meter,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Perjelas Hamdan, biarpun sudah memiliki jentera tersebut, pihaknya percaya bahawa kaedah pemadaman paling efektif untuk kebakaran bangunan tinggi adalah dengan menentang dari dalam bangunan.

“Ia paling efektif, apatah lagi dengan sistem mencegah kebakaran moden yang diwajibkan di setiap bangunan tinggi di negara ini.

“Lebih penting, di setiap bangunan kita telah wajibkan pemasangan alat pemadam api yang diselenggara baik, bagi memudahkan tugas pemadaman jika berlaku bencana api.

Beliau yang juga anak Sarawak pertama dilantik ke jawatan itu menambah, negara ini kurang menerima laporan kebakaran di tempat tinggi dalam tempoh kebelakangan ini.

“Ini tidak bermakna kita boleh alpa dan lalai. Kita telah menerima bantuan pakar-pakar dari negara luar seperti Jepun dan Korea bagi berkongsi pengalaman menentang kebakaran tenpat tinggi.

“Di pusat kota Kuala Lumpur, terdapat beberapa bangunan pencakar langit baharu yang lebih daripada 100 tingkat sedang dibina.

“Kita perlu bersedia untuk kawasan-kawasan seperti itu,” tambahnya.

Mengenai jentera sklylift yang banyak tersadai di seluruh negara, beliau berkata, pihak Bahagian Kejuruteraan sedang berusaha membaik pulih dan menaik taraf kemudahan tersebut. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru