Monday, August 15, 2022

Seorang pekerja pembinaan Pan Borneo maut, empat cedera dirempuh lori tangki di Jalan Saratok-Sarikei

Secara Rawak

SARIKEI: Seorang pekerja pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo maut manakala empat lagi cedera setelah sebuah lori tangki terbabas, melanggar mereka sebelum terbalik di Kilometer 29, Jalan Saratok-Sarikei, Berayang di sini petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.16 petang dan sebuah jentera FRT serta sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan sembilan anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Saratok pada kadar segera.

“Setiba di lokasi kejadian, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori tangki tanpa muatan yang terbabas dan terbalik ke sebelah kanan bahu jalan dari arah Sarikei menuju ke Saratok.

“Sebelum itu, lori terbabit telah merempuh empat buah motosikal dan lima pekerja pembinaan jalan.

Kata Ling Hii, pasukan paramedik yang tiba kemudian mengesahkan seorang mangsa tidak lagi bernyawa manakala dua mangsa lain yang cedera telah dihantar awal menggunakan kenderaan awam ke Hospital Sarikei.

“Dua lagi mangsa masih dirawat oleh pihak paramedik dari Hospital Saratok dan Hospital Sarikei.

Difahamkan, pemandu lori tangki tiada di tempat, dipercayai melarikan diri.

“Tiada aktiviti menyelamat mangsa dilakukan dan pihak Bomba hanya melakukan pembersihan sisa kemalangan, sehingga jam 7.20 malam,” tambahnya lagi. –Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru